Konflik Asia Barat: Syarikat, agensi pelancongan bertanggungjawab bawa pulang jemaah umrah terkandas

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Kementerian Luar Negeri hari ini. - Foto Bernama
Syarikat dan agensi pelancongan yang menguruskan pakej umrah perlu bertanggungjawab membawa pulang jemaah yang terkandas susulan konflik di Asia Barat sekiranya mereka menggunakan perkhidmatan pihak berkenaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad berkata jemaah yang mengikuti pakej melalui agensi pelancongan sepatutnya diurus sepenuhnya oleh pihak berkenaan termasuk penjadualan semula penerbangan pulang.
Beliau berkata kerajaan pada masa sama memberi keutamaan untuk menguruskan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas, khususnya mereka yang terperangkap di lapangan terbang ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air.
"Mana yang (pergi) melalui ejen pelancongan, ejen itu perlu bertanggungjawab bawa balik jemaah mereka. Jika tiket MAS (Malaysia Airlines) maka MAS kena bawa balik. AirAsia punya tiket, AirAsia perlu bawa mereka balik. Batik Air punya tiket, Batik Air mesti bawa mereka balik.
"Penerbangan biasa dah dipulihkan semula. Kalau jemaah tunjuk ada pengesahan, jadi tanggungjawab syarikat untuk membawa mereka yang dah bayar tiket. Tak bolehlah nak harap kerajaan Malaysia sahaja," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di sini hari ini.
Beliau berkata terdapat tiga kategori rakyat Malaysia yang terjejas susulan penutupan ruang udara di beberapa negara Asia Barat iaitu rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang seperti di Dubai, Doha, Abu Dhabi dan Bahrain selepas transit penerbangan untuk pulang ke Kuala Lumpur.
“Kita menguruskan kategori pertama dahulu iaitu mereka yang terkandas tiga hingga lima hari di lapangan terbang ketika transit untuk penerbangan pulang,” katanya.
Beliau berkata kategori kedua melibatkan rakyat Malaysia yang menunaikan umrah secara persendirian, manakala kategori ketiga ialah rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau bermastautin di negara berkenaan.
Mohamad berkata kerajaan bagaimanapun mengambil tanggungjawab membantu jemaah yang menunaikan umrah secara persendirian dan terkandas tanpa pengurusan mana-mana pihak.
Beliau berkata kumpulan itu ditempatkan sementara di kemudahan Tabung Haji dengan makan minum disediakan sebelum diatur penerbangan pulang.
“Jumlah mereka tidak ramai, kira-kira 500 hingga 600 orang yang pergi umrah secara persendirian dan terkandas,” katanya.
Ketegangan di Asia Barat dilaporkan meruncing sejak 28 Feb lepas susulan siri serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
