Konflik Rusia-Ukraine: Dron Ukraine serang terminal minyak Rusia

Kemudahan Terminal Marin Konsortium Saluran Paip Caspian (CPC) di Yuzhnaya Ozereevka, berhampiran pelabuhan Laut Hitam Novorossiysk Rusia yang dirakamkan pada 21 Sept 2021. - Gambar fail Reuters
Rusia mendakwa dron Ukraine menyerang terminal marin Konsortium Saluran Paip Caspian (CPC) di selatan negara itu awal pagi Isnin, menyebabkan kerosakan pada satu titik tambatan serta kebakaran membabitkan empat tangki simpanan minyak.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, serangan itu menyasarkan kemudahan pengangkutan minyak antarabangsa CPC yang mengendalikan kira-kira satu peratus bekalan minyak dunia dan sekitar 80 peratus eksport minyak Kazakhstan.
Tentera Ukraine pula mengesahkan pelancaran serangan ke atas sebuah terminal minyak lain di pelabuhan Novorossiysk, tanpa menyebut secara khusus Caspian Pipeline Consortium.
Ukraine berkata, serangan tersebut mengakibatkan kebakaran besar di kawasan terminal berkenaan.
Rusia menuduh Ukraine cuba menjejaskan pasaran hidrokarbon global dan mengganggu bekalan minyak ke Eropah.
Kementerian pertahanan negara itu bagaimanapun tidak mengemukakan bukti visual segera mengenai serangan tersebut.
Serangan itu menambah ketegangan sedia ada, khususnya kerana CPC pernah beberapa kali menjadi sasaran sepanjang peperangan yang kini memasuki tahun keempat.
Ukraine mempertahankan serangan ke atas infrastruktur tenaga Rusia sebagai langkah untuk melemahkan sumber pendapatan Moscow yang digunakan bagi membiayai perang, serta sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron Rusia ke atas kemudahan tenaga Ukraine.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, Kyiv telah menyampaikan cadangan gencatan senjata berkaitan serangan ke atas sektor tenaga kepada Rusia melalui Amerika Syarikat, sambil menegaskan, Ukraine bersedia menghentikan serangan sekiranya Rusia berbuat demikian. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
