KPDN, APMM Selangor periksa 50 kapal, bot dalam operasi khas di perairan Pelabuhan Klang

Muhamad Hanif (gambar) memaklumkan pemeriksaan juga membabitkan jeti barter trade dan jeti persendirian di sekitar Pelabuhan Klang yang menjalankan aktiviti perdagangan melibatkan barang kawalan. - Gambar fail/Facebook KPDN Selangor
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor telah menjalankan pemeriksaan terhadap 50 kapal serta bot, dalam operasi khas di perairan Pelabuhan Klang bagi membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata operasi selama tiga hari bermula 11 Mac itu melibatkan 25 anggota penguat kuasa terdiri daripada 15 pegawai KPDN dan 10 anggota APMM dengan penggunaan aset laut bagi memantau aktiviti perdagangan di kawasan pelabuhan.
“Sepanjang tiga hari ini, kami telah menjalankan pemeriksaan terhadap 50 kapal dan bot meliputi kapal barter trade, kapal serta bot kargo, bot nelayan tempatan dan tugboat (bot tunda) yang beroperasi di perairan Pelabuhan Klang.
“Operasi bersama ini dilaksanakan bagi memastikan pengusaha bot nelayan, feri, kapal tangki dan kargo mematuhi perundangan serta peraturan yang termaktub di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya pada sidang media selepas menyertai operasi terbabit di Jeti Markas Operasi Pasukan Marin, Wilayah Satu Pulau Indah, di sini malam tadi.
Beliau berkata operasi itu turut memberi tumpuan kepada kapal dagang dari dalam dan luar negara yang menjalankan aktiviti perdagangan di pelabuhan utama termasuk Northport dan Westport.
Selain itu, Muhamad Hanif memaklumkan pemeriksaan juga membabitkan jeti barter trade dan jeti persendirian di sekitar Pelabuhan Klang yang menjalankan aktiviti perdagangan melibatkan barang kawalan.
“Dalam operasi kali ini, KPDN Selangor bukan sahaja menguatkuasakan Akta Kawalan Bekalan 1961 tetapi turut memperluas skop pemeriksaan kepada pematuhan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Setiap alat timbang dan sukat yang digunakan bagi tujuan urus niaga di atas kapal atau bot perlu ditentusahkan oleh pihak berwibawa bagi memastikan ketepatan ukuran semasa transaksi perdagangan,” katanya.
Sepanjang pemeriksaan dijalankan, KPDN Selangor telah memberikan advokasi serta amaran kepada pengendali kapal supaya memastikan setiap alat timbang dan sukat yang digunakan telah ditentusahkan dan masih dalam tempoh sah.
Beliau berkata pesalah yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM40,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Muhamad Hanif berkata KPDN Selangor akan terus memperkukuh kerjasama dengan Maritim Selangor serta agensi penguat kuasa lain bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu demi kepentingan awam.
Turut hadir, Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

