Krisis tenaga global: Mahkamah Syariah dicadang laksana prosiding dalam talian

Musa Awang, berkata cadangan itu melibatkan prosiding sebutan kes yang membabitkan masyarakat awam serta peguam syarie, kecuali prosiding perbicaraan, keputusan dan Majlis Sulh dicadangkan kekal dilaksanakan secara fizikal. - Gambar BERNAMA
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mencadangkan Mahkamah Syariah di seluruh negara melaksanakan prosiding sebutan kes secara dalam talian sebagai langkah penjimatan tenaga susulan krisis tenaga global yang berterusan.
Presidennya, Musa Awang, berkata cadangan itu melibatkan prosiding sebutan kes yang membabitkan masyarakat awam serta peguam syarie, kecuali prosiding perbicaraan, keputusan dan Majlis Sulh dicadangkan kekal dilaksanakan secara fizikal.
Menurut beliau, pelaksanaan prosiding dalam talian juga selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada yang membenarkan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan Mahkamah Syariah.
"Antaranya termasuk Seksyen 40A, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 (Pindaan 2024) yang membenarkan hakim atau pendaftar menentukan prosiding kes mal dijalankan secara dalam talian.
"Selain itu, Seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2022) turut mentafsirkan kehadiran sebagai termasuk melalui teknologi komunikasi jarak jauh,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Musa memaklumkan pelaksanaan awal boleh dimulakan di kawasan berimpak tinggi seperti Lembah Klang serta ibu negeri dan bandar utama lain yang berdepan kesesakan trafik.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja dapat menjimatkan penggunaan tenaga, malah membantu mengurangkan beban masyarakat awam dan peguam syarie yang perlu hadir ke mahkamah.
"Pelaksanaan ini diharap dapat memastikan keseimbangan serta kelangsungan kehidupan pihak terlibat, selain menjadi langkah strategik dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
