Lelaki warga emas maut dipijak gajah

Polis menasihati penduduk khususnya di kawasan Tungku agar sentiasa berwaspada dan berhati hati dengan kehadiran gajah liar. - Gambar hiasan/BERNAMA
Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai dipijak seekor gajah liar dalam kejadian di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 69 tahun dilaporkan sedang menutup pagar kebun bersama anak lelakinya sebelum diserang haiwan berkenaan secara tiba tiba.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan dipijak oleh gajah liar tersebut.
“Anak mangsa yang berusia 38 tahun berjaya melarikan diri dan menjerit meminta pertolongan serta cuba mengalih perhatian gajah berkenaan.
"Tidak lama kemudian, haiwan itu beredar dari lokasi kejadian. Gajah tersebut dipercayai bertindak secara bersendirian dan bukan dalam kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, selepas keadaan selamat, anak mangsa terus mendapatkan bapanya sebelum membawanya ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat kecederaan parah dipercayai dipijak gajah liar.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami patah tulang pada bahagian betis dan tulang rusuk,” tambahnya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat di Balai Polis Tungku atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Dalam pada itu, Jimmy turut menasihatkan penduduk khususnya di sekitar Tungku agar sentiasa berwaspada dan berhati hati dengan kehadiran gajah liar di kawasan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
