Mahkamah Rayuan kurangkan jumlah pampasan kepada keluarga Altantuya kepada RM1.4 juta

Razak Baginda (kiri), Altantuya
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengurangkan jumlah pampasan yang diberikan kepada keluarga model Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dibunuh, daripada RM5 juta kepada RM1.4 juta dalam satu saman sivil berhubung kematiannya pada 2006.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh Hakim Besar Malaya Datuk Hashim Hamzah bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy.
Muniandy, ketika membacakan penghakiman itu berkata dalam kes ini, pampasan sebanyak RM5 juta itu bersifat simbolik dan diberikan atas dasar penegasan hak, bukannya melalui pengiraan yang tepat terhadap kehilangan kebergantungan.
"Pampasan sedemikian tidak boleh dipertahan... sehubungan itu, pampasan sebanyak RM5 juta diketepikan... ganti rugi yang boleh dinilai adalah terhad kepada kehilangan kebergantungan, yang dikira berdasarkan pendapatan si mati menggunakan kaedah pengganda-pendarab dan tertakluk kepada had statutori di bawah Seksyen 7(3)(a) Akta Undang-Undang Sivil 1956 (CLA), bersama perbelanjaan pengebumian di bawah Seksyen 7(3)(b) CLA," katanya.
Panel itu turut memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap kematian Altantuya kerana perbuatan kedua-dua anggota polis terbabit iaitu Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri telah dilakukan di luar skop tugas mereka.
Panel itu memberikan RM1 juta sebagai ganti rugi teruk dan hanya membenarkan tuntutan tanggungan sebanyak RM384,000, perbelanjaan berkabung RM10,000 dan perbelanjaan pengebumian RM15,000 kepada keluarga Altantuya.
Muniandy berkata Sirul Azhar dan Azilah tidak menjalankan sebarang tugas polis ketika mereka membawa mangsa ke lokasi terpencil serta membunuh Altantuya.
"Ini adalah tindakan persendirian yang dimulakan oleh (penganalisis politik) Abdul Razak (Baginda). Penggunaan bahan letupan dan senjata api yang dikeluarkan oleh kerajaan tidak dengan sendirinya menjadikan sesuatu perbuatan jenayah itu berada dalam skop tugas pekerjaan.
"Kesemua ini merupakan peralatan yang digunakan bagi tujuan haram tanpa kebenaran yang sepenuhnya terpisah daripada tugas mereka sebagai anggota Unit Tindakan Khas (UTK)... tidak wujud sekelumit bukti yang menunjukkan bahawa mereka bertindak atas arahan kerajaan," katanya.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa Kerajaan Malaysia dibebaskan sepenuhnya daripada sebarang liabiliti dan menolak tuntutan plaintif.
Mahkamah memerintahkan jumlah pampasan sebanyak RM1.4 juta ditanggung secara bersama oleh Abdul Razak, Azilah dan Sirul Azhar.
Mahkamah turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Abdul Razak bersalah atas pertuduhan berkonspirasi dan bersubahat dalam kematian Altantuya.
Muniandy berkata mahkamah mendapati hujah Abdul Razak bahawa beliau tidak berniat untuk menyebabkan kecederaan fizikal serta pembabitannya terhadap kepada usaha mendapatkan bantuan profesional polis bagi menangani isu gangguan adalah tidak berasas selepas penelitian menyeluruh ke atas rekod rayuan.
"Fakta yang tidak boleh dipertikai ialah Azilah dan Sirul Azhar tidak mempunyai sebarang pengetahuan terdahulu atau hubungan dengan si mati... mereka adalah orang asing kepada mangsa.
"Kehadiran mereka di hotel mangsa serta tindakan memintas beliau di rumah Abdul Razak adalah hasil maklumat yang dibekalkan oleh beliau... dengan memberikan lokasi si mati dan memujuk mangsa datang ke rumahnya bagi membolehkan Azilah dan Sirul menahan wanita itu adalah penghubung penting dalam rantaian peristiwa yang membawa kepada kematian mangsa," katanya.
Selain itu, Muniandy berkata Abdul Razak mengaku telah meminta Azilah untuk menguruskan perkara itu dan sentiasa berkomunikasi dengannya pada malam pembunuhan itu berlaku.
Beliau berkata pada malam kejadian, penyiasat persendirian Abdul Razak, bertindak atas arahan beliau, telah menahan mangsa di luar kediaman Abdul Razak sehingga Azilah dan Sirul tiba untuk membawanya pergi.
Hakim itu berkata rantaian peristiwa ini menunjukkan wujudnya niat bersama untuk menafikan kebebasan mangsa.
Muniandy berkata paling ketara ialah ketika mangsa dilaporkan hilang dan apabila Abdul Razak turut membuat laporan polis, beliau dengan sengaja menyembunyikan fakta penting bahawa beliau telah melihat Altantuya dibawa pergi oleh Azilah.
"Perbuatan sedemikian adalah tidak konsisten dengan tingkah laku pihak yang tidak bersalah dan menunjukkan adanya niat bersama untuk memastikan mangsa lenyap... dalam undang-undang konspirasi, tidak perlu dibuktikan bahawa Abdul Razak yang menarik picu atau mengendalikan bahan letupan.
"Memadai sekiranya dibuktikan bahawa beliau telah bertindak bersama dengan defendan lain untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang atau salah mengikut cara yang tidak sah," katanya.
Muniandy juga berkata hakim perbicaraan tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa Sirul Azhar dan Azilah tidak mempunyai motif untuk membunuh Altantuya.
"Tindakan mereka adalah akibat langsung daripada permintaan dan bantuan Abdul Razak," katanya ketika menolak rayuan Abdul Razak berhubung keputusan mengenai liabiliti.
Ibu bapa Altantuya serta cucu mereka telah memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 atas dakwaan kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental serta trauma psikologi.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 16 Dis 2022 telah membenarkan sama yang difailkan oleh keluarga Altantuya serta mengarahkan Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak dan kerajaan membayar ganti rugi RM5 juta.
Kerajaan dan Abdul Razak mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Azilah dan Sirul Azhar telah disabitkan pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya di Shah Alam antara 19 dan 20 Okt 2006.
Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap mereka selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh model Mongolia itu.
Pada Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan semakan Azilah dan menggantikan hukuman mati kepada penjara 40 tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


