Malaysia dan Turkiye dijangka perkukuh kerjasama dalam sektor media, komunikasi

Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di Kuala Lumpur semalam. - Facebook Kementerian Komunikasi
Malaysia dan Turkiye dijangka memperkukuh kerjasama dalam sektor media serta komunikasi termasuk melalui cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) dan inisiatif pertukaran kandungan.
Perkara itu dibincangkan pada sesi kunjungan hormat oleh Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel ke atas Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di sini semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai bidang kerjasama utama termasuk aspek keselamatan dalam talian serta jalinan kerjasama dalam sektor penyiaran dan media.
Menurut Kementerian Komunikasi, perbincangan turut meneliti peluang memperkukuh kerjasama melalui pemuktamadan MoU berkaitan perhubungan awam dan komunikasi.
Pertemuan itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat dan telah lama terjalin antara Malaysia dan Turkiye, dengan perbincangan lanjut merangkumi aspek keselamatan dalam talian, penyiaran serta inisiatif pertukaran kandungan melibatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Sementara itu dalam hantaran berasingan, Kementerian Komunikasi memaklumkan Fahmi turut menerima kunjungan hormat Duta Besar Sepanyol ke Malaysia José Luis Pardo Cuerdo.
Menurut kementerian, pertemuan berkenaan yang turut dihadiri Abdul Halim dan Nur-ul Afida, membuka ruang pertukaran pandangan mengenai perkembangan semasa, termasuk situasi di Timur Tengah, di samping memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor komunikasi dan media.
“Perbincangan turut memberi tumpuan kepada keselamatan dalam talian, dengan Sepanyol berkongsi perkembangan undang-undang baharu bagi melindungi kanak-kanak di ruang digital.
"Malaysia juga berkongsi mengenai pelaksanaan eKYC (pengesahan identiti pengguna secara digital) serta cadangan sekatan penggunaan media sosial bagi pengguna bawah 16 tahun,” menurut kementerian.
Kementerian Komunikasi memaklumkan, kedua-dua pihak juga meneroka potensi kerjasama media, termasuk kolaborasi antara Bernama dan Agencia EFE dalam pertukaran berita dan kandungan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
