Semua mangsa nahas helikopter ditemui di Sekadau, Kalimantan Barat

Kesemua jasad mangsa dibawa keluar melalui laluan darat ke Kabupaten Kubu Raya, dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira lima jam. - Foto X/@WeatherMonitors
Kesemua mangsa nahas helikopter Airbus H-130 yang terhempas di Kabupaten Sekadau, Kalimantan Barat, pada pagi Khamis berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian itu, lapan mangsa membabitkan dua kru dan enam penumpang ditemui selepas lokasi nahas berjaya dikesan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari udara sekitar 3.25 petang Khamis.
Kesemua jasad mangsa kemudiannya dibawa keluar melalui laluan darat ke Kabupaten Kubu Raya, dalam perjalanan yang mengambil masa kira-kira lima jam berikutan keadaan muka bumi yang sukar.
Mayat mangsa seterusnya akan dihantar ke Hospital Bhayangkara bagi menjalani proses pengecaman dan dokumentasi forensik.
Menurut pihak berkuasa, helikopter berkenaan dengan nombor pendaftaran PK-CFX, milik Mathew Air Nusantara, dilaporkan berlepas dari Kabupaten Melawi sekitar 8.34 pagi Khamis dan dijadualkan mendarat di Kabupaten Kubu Raya.
Namun, helikopter itu terputus hubungan kira-kira lima minit selepas berlepas, mencetuskan kebimbangan dan operasi pencarian berskala besar.
Titik akhir pesawat akhirnya dikenal pasti di kawasan hutan tebal di Desa Tapang Tingang, Kecamatan Nanga Taman, Kabupaten Sekadau, sebelum pasukan SAR digerakkan ke lokasi berkenaan.
Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa penerbangan Indonesia.
Operasi pemulihan dan siasatan lanjut dijangka diteruskan bagi mengumpul bukti serta mengenal pasti faktor yang menyebabkan helikopter itu terhempas.
Nahas ini menambah kepada senarai kemalangan udara di kawasan pedalaman Kalimantan, yang sering berdepan cabaran cuaca dan bentuk muka bumi yang mencabar operasi penerbangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
