MCA kibar bendera separuh tiang, penghormatan tertinggi pemergian Dr Ling Liong Sik

Mendiang Tun Dr Ling Liong Sik disifatkan, bukan sekadar seorang pemimpin, malah pembina negara, penyatu masyarakat, dan seorang yang berwawasan.
Bendera MCA akan dikibarkan separuh sebagai tanda penghormatan kepada Tun Dr Ling Liong Sik yang meninggal dunia pagi tadi.
Presidennya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata arahan tersebut dikeluarkan untuk mengenang mendiang selaku pemimpin yang banyak berjasa kepada parti.
“Saya telah mengarahkan agar bendera parti dikibarkan separuh tiang di semua pejabat MCA di seluruh negara sebagai tanda penghormatan tertinggi,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan di Facebook hari ini.
Mengulas peranan Liong Sik selaku Presiden MCA keenam, Ka Siong berpendapat parti mengalami perubahan dengan pantas apabila mendiang menggalas tugas dengan berani, jelas dan strategi luar biasa ketika era ketidaktentuan ekonomi dan politik.
Tambahnya, menerusi keazaman yang kuat, mendiang memimpin parti serta masyarakat berdepan krisis, menyelesaikan pelbagai cabaran, serta memulihkan perpaduan dan keyakinan.
“Kepimpinan beliau bukan sahaja mengukuhkan MCA, malah memperkukuhkan kedudukan masyarakat Cina dalam kerangka nasional yang lebih luas,” katanya.
Ka Siong juga berkata, peranan mendiang selaku Menteri Pengangkutan selama 17 tahun (1986-2003) adalah penting dalam memodenkan infrastruktur negara dengan menyelia pembangunan projek-projek utama yang meningkatkan sistem penerbangan, pelabuhan dan rel negara ke tahap antarabangsa.
“Sumbangan beliau membantu meletakkan asas kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berhubung secara global,” katanya.
Ka Siong turut menegaskan peranan utama yang direalisasikan oleh mendiang adalah penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
“Tun Dr Ling Liong Sik bukan sekadar seorang pemimpin, beliau pembina negara, penyatu masyarakat, dan seorang yang berwawasan.
“Legasinya akan terus hidup melalui institusi yang dibinanya, dasar yang digubalnya, dan kehidupan yang dilaluinya,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

