MSF beri amaran serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza

MSF menegaskan bahawa keadaan hidup rakyat Palestin kekal daif dan dalam bencana di tengah-tengah gangguan bantuan kemanusiaan yang disengajakan. - AP
Medecins Sans Frontieres (MSF) atau Doktor Tanpa Sempadan, memberi amaran mengenai serangan ganas yang berterusan dan meluas serta kawalan tentera Israel di Semenanjung Gaza.
MSF menegaskan bahawa keadaan hidup rakyat Palestin kekal daif dan dalam bencana di tengah-tengah gangguan bantuan kemanusiaan yang disengajakan.
Menurut Agensi Berita Qatar (QNA), MSF mendedahkan dalam satu kenyataan bahawa apa yang dipanggil sebagai gencatan senjata yang dilaksanakan sejak Oktober 2025 telah gagal menamatkan penderitaan penduduk Gaza, dengan sekurang-kurangnya 733 orang maut dan 1,913 yang lain cedera sejak tarikh itu.
MSF memaklumkan bahawa pasukan perubatannya telah melakukan lebih 40,000 rawatan kecederaan akibat insiden keganasan, termasuk luka tembakan dan letupan. Organisasi itu turut mengesahkan lebih 60 peratus kes di kliniknya di Gaza merupakan kecederaan akibat serangan langsung.
Pengurus Kecemasan MSF, Claire San Filippo berkata pihak berkuasa Israel mengenakan syarat-syarat yang bertujuan memusnahkan kelangsungan hidup melalui sekatan sistematik terhadap kemasukan bantuan.
Selain itu, pendaftaran 37 organisasi bantuan antarabangsa termasuk MSF telah dibatalkan, sekali gus menghalang organisasi berkenaan daripada membawa masuk sebarang bekalan perubatan sejak awal 2026.
Menurut kenyataan itu, MSF berkata sistem kesihatan sedang "dijerut" secara sistematik dengan lebih 18,500 pesakit, termasuk 4,000 kanak-kanak, kini menunggu pemindahan perubatan yang dihalang oleh pihak berkuasa pendudukan.
Ia juga melaporkan prevalens tinggi bagi penyakit kulit, usus dan pernafasan akibat kesesakan serta perpindahan paksa yang melibatkan kira-kira 90 peratus penduduk.
Di lapangan, MSF berkata pihak pendudukan telah membahagikan sektor terlibat secara efektif melalui apa yang dipanggil sebagai "garisan kuning", yang mengehadkan penduduk Palestin kepada hanya 42 peratus daripada kawasan tanah yang telah musnah. Kawasan di sekitar garisan terbabit kini menjadi zon pembunuhan yang berada di bawah bedilan berterusan pesawat, artileri dan kapal perang.
MSF menggesa masyarakat antarabangsa untuk menggunakan semua tekanan politik bagi memaksa Israel, sebagai kuasa pendudukan, untuk melindungi orang awam, memulihkan keadaan hidup yang sesuai, serta membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan segera tanpa sebarang halangan.
-- BERNAMA-QNA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

