Netanyahu dakwa masih banyak perlu dilakukan di Lubnan ketika lawatan ke pasukan tentera

Netanyahu ketika melawat anggota tentera Israel yang ditempatkan di selatan negara itu. - Foto X/Benjamin Netanyahu
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata masih terdapat “banyak lagi yang perlu dilakukan” di Lubnan ketika melawat anggota tentera Israel yang ditempatkan di selatan negara itu, menurut satu video pendek yang dimuat naik di akaun media sosial rasminya.
Dalam rakaman berkenaan, Netanyahu yang berucap dalam bahasa Ibrani berkata operasi ketenteraan Israel untuk mewujudkan zon penampan atau jalur keselamatan di selatan Lubnan telah berjaya “menggagalkan ancaman pencerobohan dari Lubnan”, merujuk kepada pejuang Hezbollah.
Beliau memuji apa yang disifatkannya sebagai “kerja luar biasa” yang telah dilakukan oleh angkatan tentera Israel setakat ini, namun menegaskan bahawa usaha tersebut belum selesai.
“Masih ada lagi yang perlu dilakukan, dan kami sedang melakukannya,” katanya.
Netanyahu turut mendakwa tindakan ketenteraan Israel di Lubnan menjadi bukti bahawa negaranya telah “pada asasnya mengubah wajah Asia Barat”.
Kenyataan itu bagaimanapun menerima kritikan meluas daripada masyarakat antarabangsa, khususnya berhubung jumlah korban awam yang dilaporkan meningkat sejak konflik tercetus.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan udara Israel telah mengorbankan lebih 2,000 orang sejak bermulanya perang, dengan kebanyakan mangsa dilaporkan orang awam.
Ketegangan serantau turut meningkat susulan amaran dari Iran.
Tehran menyatakan ia akan menyambung semula serangan dan menamatkan perjanjian gencatan senjata dengan Amerika Syarikat (AS) sekiranya Israel terus melancarkan pengeboman di Lubnan.
Perkembangan terbaharu ini menimbulkan kebimbangan bahawa konflik di sempadan Israel–Lubnan berisiko merebak menjadi krisis serantau yang lebih luas, ketika tekanan diplomatik antarabangsa semakin meningkat bagi mengekang keganasan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

