Pemilik rumah kebajikan didakwa lagi, aniaya empat penghuni pusat jagaan kanak-kanak

Valan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menganiaya dua kanak-kanak dan dua remaja serta satu pertuduhan mengendalikan pusat jagaan tidak berdaftar. - Foto Bernama
Seorang pemilik rumah kebajikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Khamis, atas empat pertuduhan menganiaya dua kanak-kanak dan dua remaja serta satu pertuduhan mengendalikan pusat jagaan yang tidak berdaftar.
S Valan, 31, yang memakai baju T putih dan berseluar pendek, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norazlin Othman dan Majistret, Chai Guan Hock.
Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa atas empat pertuduhan, sebagai penjaga pusat jagaan yang mempunyai pemeliharaan ke atas empat mangsa iaitu dua lelaki berusia 11 dan 17 tahun serta dua perempuan (lapan dan 16 tahun), telah menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh mereka.
Kesalahan didakwa dilakukan di pusat jagaan kanak-kanak, di Taman Selayang Permata, Gombak antara 2023 hingga 2025.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin yang tinggi kerana kes berkenaan serius dan tular di media sosial.
"Saya mohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan," katanya.
Bagaimana, peguam, Nur Amalia Daud yang mewakili tertuduh merayu, anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dan bersedia untuk memenuhi syarat tambahan.
"Valan perlu menyara ibu bapa dan isteri yang juga seorang suri rumah serta seorang anak berusia tiga tahun.
"Minggu lalu, dia dituduh atas empat kes (amang seksual) di Mahkamah Sesyen Ampang dan dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 maka saya mohon ikat jamin diberi pada kadar munasabah dan tidak bersifat menghukum," katanya.
Beliau berkata, Valan tidak berisiko untuk mengganggu saksi pendakwaan memandangkan rumah kebajikan tersebut telah ditutup oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norazlin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin, bagi empat pertuduhan tersebut.
"Tertuduh perlu memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.
"Saya ingatkan semua pihak supaya tidak mensensasikan kes ini di luar mahkamah, sehingga perbicaraan selesai," kata hakim dan menetapkan sebutan kes pada 19 Jun depan.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengendalikan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar di Taman Permata Biru, Batu Caves, jam 8 malam pada 3 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993, pindaan 2007 dan boleh dihukum bawah Seksyen 5(2) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebagai tambahan, boleh dikenakan denda harian tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Birr Zamier Abu Bakar.
Guan Hock membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada tarikh sama.
Prosiding itu turut dihadiri peguam pemerhati bagi pihak Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor dan keluarga mangsa iaitu S Kirthen dan Nishanthi Loganathan.
Pada 9 April lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun, di pusat jagaan kanak-kanak di Kalumpang antara 18 Mac 2019 dan Mac lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

