Pengharaman dua buku dibuat berdasarkan penilaian, keselamatan awam - KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan tindakan penguatkuasaan terhadap dua penerbitan yang dikenakan Perintah Larangan dibuat berasaskan penilaian semasa serta kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam, bukan semata-mata berdasarkan tarikh penerbitan bahan berkenaan.
KDN memaklumkan tindakan itu melibatkan buku bertajuk Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10 dan Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah yang diambil di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menurut KDN, hasil pemantauan berterusan dan maklumat risikan, kementerian itu mendapati terdapat bahan penerbitan yang mengandungi unsur serta ideologi komunisme kini mula beredar secara lebih terbuka di pasaran.
"Jika sebelum ini penyebaran bahan seumpama ini bersifat terhad dan tertutup, perkembangan mutakhir menunjukkan kecenderungan untuk menormalisasi serta mengagung-agungkan fahaman tersebut, yang jelas bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Justeru KDN memberitahu, penguatkuasaan ke atas kedua-dua buku itu tidak tertakluk kepada tempoh sesuatu penerbitan diterbitkan, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan penilaian terhadap kandungan serta implikasinya kepada keselamatan dan ketenteraman awam.
"Setiap tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran berkaitan," kata KDN dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
KDN menjelaskan, penilaian kandungan dibuat berlandaskan Seksyen 7 Akta 301, khususnya terhadap elemen yang boleh memudaratkan keselamatan awam.
Pada masa sama, KDN menolak dakwaan bahawa tindakan berkenaan bertujuan menyekat kebebasan intelektual atau wacana ilmiah.
Sebaliknya, ia disifatkan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
Kementerian itu turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menyebar, mempromosi atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang.
"Siasatan sedang dijalankan terhadap kedua-dua penerbitan terbabit, termasuk melibatkan pihak penerbit seperti SIRD bagi memastikan pematuhan kepada keperluan perundangan, termasuk status pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM)," katanya.
Sehubungan itu, semua pihak diseru agar tidak membesarkan isu berkenaan atau mengeluarkan kenyataan mengelirukan sehingga mencetuskan polemik awam.
KDN turut memaklumkan, semakan berkaitan status larangan penerbitan boleh dibuat melalui saluran rasmi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan kementerian itu.
"KDN kekal komited melaksanakan pemantauan berterusan terhadap sebarang elemen yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, demi memastikan kedaulatan undang-undang serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara," ujarnya.
Sementara itu, dalam kenyataan pada Rabu, penerbit buku berkenaan, Gerakbudaya, memaklumkan pihaknya akan mencabar tindakan KDN itu yang disifatkan sebagai usaha menyempitkan ruang wacana serta menghalang perkembangan budaya ilmu.

