Penyelewengan tanah: SPRM beku 10 akaun bank RM4 juta

Siasatan yang dijalankan SPRM Selangor sejak 9 Mac lepas telah membekukan dua akaun unit amanah bernilai kira-kira RM2.6 juta dan beberapa akaun simpanan syarikat serta individu berjumlah kira-kira RM1 juta. - Gambar hiasan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan empat akaun syarikat dan akaun perbankan milik empat individu dianggarkan berjumlah kira-kira RM4 juta berhubung siasatan membabitkan isu penyelewengan tanah di Selangor.
Sumber berkata, siasatan yang dijalankan SPRM Selangor sejak 9 Mac lepas telah membekukan dua akaun unit amanah bernilai kira-kira RM2.6 juta dan beberapa akaun simpanan syarikat serta individu berjumlah kira-kira RM1.4 juta.
“Pada masa sama, siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan penipuan,” katanya.
Semalam, seorang pengarah syarikat yang juga pemegang amanah terhadap tanah seluas kira-kira 3.2 hektar di sebuah ladang di Hulu Selangor direman lima hari hingga Isnin depan berhubung kes sama.
Sumber itu berkata, setakat ini sebanyak 24 individu telah diambil keterangan dan SPRM masih mengesan saksi yang terlibat di dalam kes terbabit bagi tujuan rakaman percakapan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
