Peralihan sumber tenaga konvensional kepada bersih perlu dilaksana berperingkat

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berucap ketika hadir Majlis Pelancaran Bilik Pameran Mylky Way di Pure Mylk Sdn Bhd Pulau Indah Pelabuhan Klang hari ini. - Foto Bernama
Cadangan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih seperti gas dan nuklear perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik serta penerimaan masyarakat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal berkata langkah itu kini masih di peringkat kajian bagi mengenal pasti alternatif kepada sumber tenaga konvensional yang digunakan ketika ini, iaitu pembakaran arang batu dan diesel.
Beliau berkata negara maju yang menggunakan tenaga nuklear ketika ini dilihat mempunyai kelebihan berbanding Malaysia yang masih bergantung kepada sumber konvensional serta penjanaan melalui empangan, khususnya ketika dunia berdepan krisis tenaga global.
“Tentu kita sudah faham ada keperluan untuk kita mengkaji dan melihat kepada keperluan penggunaan kaedah lain sama ada nuklear atau gas. Kalau di Sabah saya sebut gas lebih murah dan mampan. Kajian ini ada peringkatnya kerana kita perlu pastikan ia selaras dengan pemahaman komuniti.
“Situasi kita berbeza berbanding negara maju, yang penggunaan nuklear diterima dan difahami bukan sebagai sesuatu yang negatif. Di sini, persepsi tentang nuklear berbeza-beza. Ramai melihatnya berbahaya walaupun impak sebenar tenaga nuklear adalah lebih bersih dan terkawal," katanya kepada media di Pusat Inovasi The Milky Way di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai usaha Kerajaan Negeri Selangor yang dalam fasa memulakan pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dalam tempoh lima tahun, Mohamad Yusof berkata perkara itu bergantung kepada kemampuan sesebuah negeri.
“Tetapi pendekatan perlu dibuat secara berhemah. Tidak boleh dilaksanakan terus (dalam keadaan) segera kerana ia boleh menimbulkan implikasi atau ketidakselesaan dalam kalangan rakyat yang belum memahami sepenuhnya,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptama di Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 berkata Malaysia perlu mempercepat peralihan ke arah strategi tenaga jangka panjang yang lebih mampan, pelbagai dan cekap dari segi kos.
Beliau berkata peralihan tuntas dalam strategi tenaga bukan sahaja merupakan keperluan alam sekitar, malah amat penting susulan gangguan dalam bekalan tenaga global.
Terdahulu, Mohammad Yusof melancarkan Pusat Inovasi The Milky Way milik inovator berasaskan tumbuhan Malaysia, Pure Mylk di Pulau Indah di sini hari ini.
Pure Mylk bersama peneraju global dalam bidang pemprosesan dan pembungkusan makanan, Tetra Pak hari ini mengumumkan satu kerjasama strategik antaranya bertujuan untuk membantu jenama tempatan membangunkan dan melancarkan minuman berfungsi berasaskan tumbuhan yang inovatif di Malaysia.
Menerusi inisiatif ini, teknologi pemprosesan dan kepakaran pembungkusan Tetra Pak akan digabungkan di hab inovasi The Milky Way yang akan menawarkan akses kepada keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang canggih, ujian berskala rintis, serta sokongan pembangunan produk secara kolaboratif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
