Perdana Menteri bantu mangsa kebakaran di Kampung Gudon, Sabah

Pada 28 Mac, tujuh rumah dilaporkan musnah dalam kebakaran di Kampung Gudon, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Gambar fail/APM Kota Kinabalu
Sepuluh ketua isi rumah terlibat kebakaran di Kampung Gudon, Menggatal dekat sini baru-baru ini, menerima bantuan berupa barangan dapur dan wang tunai daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bantuan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud hari ini.
Mustapha berkata sumbangan itu tanda keprihatinan Perdana Menteri untuk meringankan beban mangsa terlibat.
“Hari ini, saya dan pegawai daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) mewakili Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran dan Perdana Menteri turut menyampaikan salam takziah kepada semua yang terlibat,” katanya.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata pihaknya akan terus memantau situasi semasa untuk memastikan semua mangsa terlibat dibantu sebaik mungkin.
“Kita akan lihat apa lagi boleh dibantu, dalam fasa pembersihan sehingga mereka membina semula rumah. Kita juga akan mendapatkan laporan untuk menyelaraskan bantuan serta memohon rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada mangsa yang layak,” katanya.
Pada 28 Mac, tujuh rumah dilaporkan musnah dalam kebakaran di Kampung Gudon yang berlaku pada 3.40 petang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, mangsa Zainal Anjah, 40, yang mendakwa kerugian kira-kira RM80,000 akibat kebakaran itu berterima kasih kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri yang membantu meringankan beban mereka.
“Terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu, terutamanya Pejabat Parlimen Sepanggar. Bantuan ini banyak membantu kami. Kalau bantuan ini tiada kami rasa seperti bermula daripada kosong,” katanya.
Pada perkembangan lain, Mustapha meminta rakyat Sabah bersedia menghadapi krisis tenaga global.
“Kita di Sabah dan Sarawak juga terkesan dengan krisis tenaga ini. Walaupun harga diesel dan petrol di Sabah dan Sarawak kekal namun kita perlu bersedia kerana tidak tahu bila peperangan akan berakhir,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

