Pertukaran Wan Shaharuddin amalan biasa, tak jejas kes dikendali di SPRM, kata peguam negara

Beliau berkata, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan ialah satu daripada bahagian utama di AGC yang memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pendakwaan dan kelancaran proses rayuan di mahkamah atasan.
Penempatan Wan Shaharuddin di bahagian itu, katanya, diyakini sesuai dengan kepakaran dimiliki, sekali gus membolehkan beliau terus menyumbang secara langsung kepada pengendalian kes rayuan yang lebih kompleks dan berprofil tinggi.
Dusuki berkata, pertukaran itu merupakan sebahagian amalan biasa dalam perkhidmatan awam yang menekankan prinsip pusingan kerja, pembangunan kerjaya, dan pendedahan kepada bidang tugas pelbagai.
“Lazimnya, tempoh pusingan kerja bagi pegawai undang-undang dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan adalah antara tiga hingga lima tahun.
“Wan Shaharuddin telah berkhidmat selama lebih enam tahun di SPRM dan pertukaran ini sejajar dengan amalan tersebut serta memberikan peluang kepada beliau untuk memperluas pengalaman dalam bidang perbicaraan dan rayuan,” katanya.
Wan Shaharuddin yang berkhidmat di SPRM pada 2019, mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi antaranya kes penyelewengan dana Armada membabitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas ketua menteri, Lim Guan Eng, dan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dihadapi bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.
-- BERNAMA

