Pertumbuhan KDNK suku keempat dijangka melebihi 5.7 peratus - Amir Hamzah

“Ia lebih tinggi daripada apa yang disasarkan oleh kerajaan antara 4.0 ke 4.8 peratus,” kata Amir Hamzah. - Astro AWANI.
Ekonomi Malaysia dijangka terus kukuh pada suku keempat 2025, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berpotensi mencapai atau melebihi anggaran awal sebanyak 5.7 peratus.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berpendapat anggaran awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini menunjukkan prestasi ekonomi lebih baik daripada jangkaan.
Pada 16 Januari lalu, DOSM menjangkakan kadar pertumbuhan suku keempat dicatatkan pada 5.7 peratus dan jika tercapai, bermakna KDNK keseluruhan 2025 meningkat kepada 4.9 peratus.
“Ia lebih tinggi daripada apa yang disasarkan oleh kerajaan antara 4.0 ke 4.8 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Peluncuran Jana MyPesara di Menara KWAP hari ini.
Untuk rekod, KDNK Malaysia bagi keseluruhan tahun 2024 meningkat 5.1 peratus, manakala angka rasmi 2025 dijadual diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) esok.
Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa pelaburan yang masuk ke negara dan tahap pengaktifan aktiviti ekonomi menunjukkan perkembangan yang positif.
Selain itu, senarai pesanan dalam sektor pembuatan, ditambah dengan kerancakan sektor runcit, juga menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.
“Semuanya menunjukkan ekonomi Malaysia masih kukuh dan akan membantu (pertumbuhan) pada masa hadapan,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

