Piala Dunia 2026: Iran enggan bermain di AS, runding pindah venue ke Mexico

Berdasarkan jadual asal, Iran sepatutnya beraksi dalam dua perlawanan di Los Angeles dan satu lagi di Seattle pada kejohanan yang dianjurkan bersama AS, Kanada dan Mexico.
Persekutuan Bola Sepak Iran sedang berunding dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi memindahkan semua perlawanan Piala Dunia 2026 membabitkan pasukan kebangsaan negara itu ke Mexico.
Ia susulan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pemain berikutan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.
Langkah tersebut diambil selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, secara terbuka menyatakan bahawa penyertaan Iran dalam kejohanan berkenaan tidak sesuai bagi keselamatan dan nyawa mereka sendiri.
Berdasarkan jadual asal, Iran sepatutnya beraksi dalam dua perlawanan di Los Angeles dan satu lagi di Seattle pada kejohanan yang dianjurkan bersama AS, Kanada dan Mexico.
Presiden Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, melalui kenyataan yang disiarkan akaun X Kedutaan Iran di Mexico, menegaskan bahawa pasukan itu tidak akan beraksi di Amerika Syarikat jika jaminan keselamatan tidak dapat diberikan.
🔹مهدی تاج رئیس فدراسیون فوتبال ایران: وقتی ترامپ صراحتأ اعلام کرده است که نمیتواند امنیت تیم ملی ایران را تأمین کند، قطعا به آمریکا سفر نمیکنیم/در حال مذاکره با فیفا هستیم تا مسابقات ایران در جام جهانی، در کشور مکزیک برگزار شود— Embajada de Irán en México (@IraninMexico) March 16, 2026
“Apabila Trump secara terang-terangan menyatakan beliau tidak dapat menjamin keselamatan pasukan kebangsaan Iran, kami tidak akan melakukan perjalanan ke Amerika.
"Kami kini berunding dengan FIFA untuk mengadakan semua perlawanan Iran di Mexico,” katanya.
Ketegangan antara Tehran dan Washington memuncak selepas serangan udara gabungan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta pegawai kanan lain, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan merentasi rantau itu.
Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali, sebelum ini turut menegaskan bahawa adalah mustahil untuk pasukan Iran menyertai kejohanan tersebut dalam keadaan konflik yang tidak reda.
Setakat ini, FIFA belum memberikan sebarang maklum balas rasmi berhubung permohonan luar biasa tersebut, yang berpotensi memberi implikasi besar terhadap logistik dan jadual keseluruhan kejohanan yang dijadualkan bermula pada 11 Jun depan.
Peminat bola sepak dunia kini menantikan keputusan badan induk sepak bola itu untuk menentukan masa depan penyertaan Iran dalam Piala Dunia 2026.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
