Piala Uber: Peluang mewakili Malaysia satu keistimewaan - Thinaah

Thinaah berkata, beraksi untuk negara adalah peluang yang amat berharga dan dia bersama pasukan kekal komited untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan pada kejohanan berprestij itu. - Gambar Bernama
Jaguh beregu wanita negara, M. Thinaah menyifatkan setiap peluang mewakili negara untuk Piala Uber sebagai satu keistimewaan dan bukannya beban, meskipun menggalas tanggungjawab besar, yang mengharapkan beliau dan gandingannya, Pearly Tan dapat menyumbang mata.
Thinaah berkata, beraksi untuk negara adalah peluang yang amat berharga, dan mereka kekal komited untuk memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan pada kejohanan berprestij itu.
“Peluang bermain untuk Malaysia dan berada di gelanggang adalah sesuatu yang perlu dihargai dan syukuri, jadi kami akan melakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.
Untuk memastikan pasukan sentiasa berada dalam persekitaran positif, Thinaah turut menggesa pendekatan tanpa tekanan dalam kalangan rakan sepasukan, selain menekankan kepentingan menumpukan kepada prestasi masing-masing serta saling menyokong antara satu sama lain.
“Kita tidak mahu memberikan tekanan kepada sesiapa. Perkara utama adalah untuk menikmati permainan dan memberikan yang terbaik dalam perlawanan. Dan sebagai rakan sepasukan, kami ada untuk menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Mengulas mengenai skuad negara yang berlepas ke Herning, Denmark, pada 14 April bagi menjalani kem latihan berpusat, Thinaah berkata, langkah strategik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu akan membantu mengeratkan lagi hubungan antara pemain.
Beliau berkata, untuk membina semangat berpasukan yang padu amat penting bagi kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas dan Piala Uber, dan kem latihan selama lapan hari itu menyediakan platform terbaik untuk tujuan berkenaan.
Turut bersama skuad negara ialah gandingan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah.
Acara perseorangan wanita akan diwakili oleh K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei.
Skuad wanita negara turut diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan.
Piala Uber dan Piala Thomas 2026 dijadual berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

