PN umum barisan baharu, Takiyuddin ganti Azmin sebagai Setiausaha Agung

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (gambar), dilantik sebagai Setiausaha Agung menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Gambar fail
Perikatan Nasional (PN) mengumumkan barisan Ahli Majlis Tertinggi baharu, sekali gus menyaksikan beberapa perubahan penting dalam kepimpinan gabungan itu.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilantik sebagai Setiausaha Agung menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Manakala, Azmin yang meletak jawatan berkuat-kuasa Januari lalu, kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Setiausaha Agung.
“Insya-Allah, kita akan lebih bersedia. Pembentukan biro-biro baharu ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan PN. Beberapa sesi retreat akan diadakan bagi memastikan hala tuju kita lebih jelas,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Sabtu.
Selain itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dinaikkan pangkat daripada Naib Pengerusi PN kepada Timbalan Pengerusi.
Beliau akan menggalas jawatan itu bersama tiga Presiden lain iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.
Datuk Seri Annuar Musa dilantik sebagai Ketua Penerangan, manakala Datuk Radzi Md Jidin mengambil alih jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya daripada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang kini menjadi Bendahari Agung.
Jawatan Ketua Wanita PN turut menyaksikan perubahan apabila Datuk Mas Ermieyati Samsudin digugurkan selepas digantung keahlian selama dua penggal kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Susulan itu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dilantik sebagai Ketua Wanita PN baharu.
Afnan Hamimi Taib Azamudden pula kekal memegang jawatan Ketua Pemuda PN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

