Polis tahan empat lagi lelaki disyaki khianat, ugut Zamri Vinoth

Pihak polis menahan empat lagi individu di sekitar kawasan Bukit Mertajam pada 2.30 pagi tadi dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.
Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes melakukan ugutan jenayah dan khianat terhadap kenderaan dipandu penceramah bebas Zamri Vinoth pada 7 Mac lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata pihaknya menahan empat lagi individu di sekitar kawasan Bukit Mertajam pada 2.30 pagi tadi dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.
Beliau berkata tangkapan itu dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) bersama Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
“Kesemua suspek adalah lelaki tempatan berumur antara 29 hingga 31 tahun dan ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan dalam kes ini sebanyak enam orang.
“Turut dirampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizee berkata hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah, namun ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.
Beliau berkata kesemua suspek direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 427 kanun sama berkaitan perbuatan khianat.
Sebelum ini, polis memaklumkan telah menahan dua individu berusia lingkungan 20-an selepas polis menerima laporan berhubung insiden yang dipercayai berlaku di tepi jalan Taman Aston Acacia Bukit Mertajam itu daripada Zamri di IPD SPT.
Terdahulu, Zamri memuat naik rakaman video berdurasi 19 saat di Facebook yang memaparkan kenderaannya dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki sebelum beberapa lelaki lain turut datang menghampiri dan kenderaan itu kemudian dilihat melanggar motosikal berkenaan.
Sementara itu, Azizee berkata polis juga kini sedang menjalankan siasatan terhadap satu laporan polis yang dibuat pada 8 Mac lepas berkaitan dakwaan Zamri mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan, provokasi, bersifat menghina dan berunsur perkauman yang dibuat dalam satu paparan video “live” di aplikasi TikTok.
Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

