PuTERA35: Usahawan Bumiputera disaran perkukuh daya tahan perniagaan

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) terus komited dalam memastikan kelangsungan dan pertumbuhan usahawan tempatan melalui pendekatan lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan industri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin berkata, antara pendekatan utama yang dilaksanakan adalah dengan turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan usahawan.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan pihaknya mendapatkan maklum balas yang lebih tepat dan realistik bagi menambah baik tawaran sedia ada.
“Apabila kita berinteraksi dengan usahawan, kita dapat maklum balas yang sangat berguna dan ia digunakan untuk memperbaiki tawaran di PUNB. Kita sentiasa ingatkan pegawai supaya tidak syok sendiri dan sentiasa peka dengan keperluan usahawan,” katanya.
Tambah beliau, sokongan PUNB tidak hanya tertumpu kepada pembiayaan semata-mata, malah merangkumi aspek bimbingan (advisory) serta program penskalaan perniagaan.
Pelbagai inisiatif juga telah diperkukuh bagi membantu usahawan berkembang daripada peringkat kecil ke sederhana, seterusnya ke tahap lebih besar dan mampan.
Dalam masa sama, Pengarah Urusan Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsul Kamar Samsudin menekankan kepentingan ilmu, daya tahan dan sikap tidak mudah berputus asa dalam kalangan usahawan.
Menurut beliau, usahawan perlu sentiasa mencari peluang untuk belajar termasuk melalui program bimbingan atau perkongsian pengalaman daripada mereka yang telah berjaya.
“Belajar jangan berhenti. Kita boleh ambil jalan mudah dengan belajar daripada kelemahan dan pengalaman orang lain. Selain itu, usahawan juga perlu ada semangat kental dan tidak mudah menyerah kalah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peluang dan bantuan sebenarnya tersedia melalui pelbagai inisiatif kerajaan dan agensi berkaitan.
Justeru, usahawan disaran untuk memanfaatkan sepenuhnya sokongan yang disediakan bagi mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
Mereka berkata demikian dalam program PuTERA35.

