awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Himpunan GARAH: Anwar, kerajaan dan lima lain diarah fail pembelaan sebelum 21 Mei
Speaker belum terima surat letak jawatan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang
Daripada G kepada A, TCS bantu tingkat prestasi anak Orang Asli

Raja Charles tidak akan bertemu mangsa Epstein semasa lawatan ke Amerika Syarikat

Agensi
Agensi
14/04/2026
21:10 MYT
Raja Charles tidak akan bertemu mangsa Epstein semasa lawatan ke Amerika Syarikat
Lawatan Raja Charles ke Amerika Syarikat berlangsung ketika hubungan negara itu dan UK tegang, termasuk berhubung pertikaian berkaitan perang dengan Iran. - Gambar fail
Tiada pertemuan akan diadakan antara Raja dan Permaisuri England dengan mangsa pesalah seks Jeffrey Epstein semasa lawatan negara ke Amerika Syarikat (AS) hujung bulan ini, menurut sumber Istana Buckingham.
Bagaimanapun, dijangkakan Permaisuri Camilla akan bertemu wakil kumpulan yang berkempen menentang keganasan rumah tangga serta keganasan terhadap wanita dalam beberapa acara sepanjang lawatan itu, yang dijadualkan berlangsung dari 27 hingga 30 April.
Raja Charles dijangka berdepan cabaran diplomatik memandangkan hubungan antara United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat kini tegang, termasuk berhubung pertikaian berkaitan perang dengan Iran.
Namun, sumber istana menyatakan, Raja boleh memainkan peranan unik dalam menyokong kerjasama UK-AS yang telah “bertahan merentasi banyak Presiden dan, pastinya, banyak pemerintahan raja.”
Seorang jurucakap Pejabat Luar Britain turut menegaskan, lawatan Raja Charles itu boleh membantu mengukuhkan hubungan dua hala serta melindungi manfaat jangka panjang hubungan tersebut.
“Jadi ya, kami adalah sekutu rapat, kami memang tidak sependapat dalam beberapa perkara, tetapi itu tidak menjejaskan nilai yang diperoleh oleh kedua-dua pihak daripada hubungan ini sejak berdekad-dekad lamanya,” katanya.
Susulan skandal Andrew Mountbatten-Windsor, gesaan semakin meningkat agar pelawat diraja bertemu mangsa Epstein, termasuk daripada Ahli Kongres AS, Ro Khanna, mangsa Epstein, Lisa Phillips, serta keluarga mendiang Virginia Giuffre.
Namun, menurut sumber istana, perkara itu tidak dapat dilakukan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan prosiding undang-undang dan menghalang keadilan kepada mangsa.
Sumber tersebut berkata: “Kami memahami dan menghargai kedudukan para mangsa, namun hanya mampu menegaskan bahawa pendirian kami jelas — sebarang tindakan yang berpotensi memberi kesan kepada siasatan polis yang sedang berjalan serta penilaian undang-undang, dan sebarang tindakan perundangan yang mungkin timbul daripadanya, akan menjejaskan para mangsa sendiri dalam usaha mereka menuntut keadilan.”
Permaisuri Camilla telah lama terlibat dalam kempen menentang keganasan rumah tangga dan satu ucapan terbaharunya dilihat mengandungi rujukan tersirat kepada mangsa Epstein.
“Kepada setiap mangsa segala bentuk keganasan, ramai antara anda yang tidak dapat menceritakan kisah masing-masing atau tidak dipercayai, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian,” titah Permaisuri dalam satu majlis di Istana St James.
Lawatan negara dilaksanakan oleh Raja bagi pihak kerajaan United Kingdom.
Pejabat Luar Britain menyatakan, lawatan ini akan menandakan ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat, serta meraikan satu perkongsian berteraskan “kemakmuran, keselamatan dan sejarah bersama.”
Trump sering memuji keluarga diraja dan sebelum ini menulis di media sosial bahawa beliau “menantikan masa untuk meluangkan masa bersama Raja, yang amat saya hormati. Ia akan menjadi HEBAT!”
Namun, lawatan ini berlangsung ketika hubungan berada pada tahap tegang yang luar biasa, dengan Trump melontarkan kenyataan pedas terhadap Perdana Menteri, Sir Keir Starmer berhubung perbezaan pendapat mengenai perang dengan Iran.
Jadual lawatan menunjukkan terdapat peluang terhad bagi media mendengar perbualan tidak dirancang antara Raja dan Presiden AS, di luar ucapan rasmi.
Terdapat perbezaan ketara dari segi perwatakan dan sikap antara Trump dan Raja Charles, yang mungkin perlu diketepikan sepanjang lawatan ini.
Keir sebelum ini secara terbuka mengakui ketegangan terkini antara Downing Street dan White House.
“Perikatan matang bukanlah tentang berpura-pura bahawa perbezaan tidak wujud; sebaliknya ia tentang menanganinya secara terus, berhemah, dan berfokus kepada hasil,” katanya awal tahun ini, merujuk isu tarif AS dan ancaman ke atas Greenland.
Butiran lain mengenai lawatan negara yang diumumkan pada Selasa termasuk:
  • Sepanjang dua hari di Washington, Raja Charles dan Permaisuri Camilla akan menghadiri jamuan teh, majlis taman dan perbarisan ketenteraan istiadat. Raja dan Trump akan mengadakan pertemuan tertutup dan Presiden akan menjadi tuan rumah jamuan negara di White House.
  • Semasa di Washington juga, Raja akan berucap di Kongres, yang dijangka menjadi kemuncak diplomatik lawatan.
  • Sementara di New York, acara yang akan dihadiri Raja Charles termasuk lawatan ke tugu peringatan 9/11 untuk bertemu pasukan penyelamat, projek komuniti di Harlem, acara literasi sempena ulang tahun ke-100 Winnie the Pooh, acara perniagaan serta satu majlis sambutan berprofil tinggi.
  • Di Virginia pula, Raja Charles yang juga seorang pencinta alam sekitar akan melawat taman negara, mendalami budaya Appalachian dan menemui komuniti orang asal. Satu majlis komuniti turut diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-250 kemerdekaan.
  • Selepas meninggalkan Amerika Syarikat, Raja Charles dan Permaisuri Camilla akan melawat Bermuda sebelum kembali ke United Kingdom. - Agensi
Topic Berkaitan
#Raja Charles
#Permaisuri Camilla
#skandal Epstein
#Donald Trump
#Lawatan Negara
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.