Rakyat Malaysia antara mangsa nahas helikopter di Kalimantan Barat

Ketua Bidang Perubatan Polis Kalimantan Barat, Dr Subur M.H berkata, mangsa dikenali sebagai Patrick Kee Chuan Peng. - Gambar fail/hiasan
Pihak berkuasa Indonesia pada Jumaat mengesahkan seorang daripada empat mangsa yang telah dikenal pasti dalam nahas helikopter Airbus H-130 di Kabupaten Sekadau, Kalimantan Barat pada Khamis merupakan rakyat Malaysia.
Ketua Bidang Perubatan Polis Kalimantan Barat, Dr Subur M.H berkata, mangsa dikenali sebagai Patrick Kee Chuan Peng.
Menurutnya, Patrick merupakan Ketua Pegawai Operasi KPN Plantation yang berpangkalan di Jakarta dan pernah menyandang jawatan pengarah di Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad.
“Empat jenazah yang telah dikenal pasti daripada bedah siasat ialah Joko Catur Prasetyo, Charles Dominson Lakidang, warga Malaysia Patrick Kee Chuan Peng dan Victor Tan Keng Liam dari Jakarta,” katanya dalam sidang media di Hospital Bhayangkara di sini.
Sementara itu, beliau memaklumkan, empat lagi jasad masih dalam proses pengecaman dan menunggu maklumat lanjut daripada keluarga masing-masing.
Dr Subur berkata, secara keseluruhan kesemua mangsa masih dapat dikenali, sekali gus memudahkan proses pengecaman dijalankan.
Dalam kejadian itu, kesemua mangsa melibatkan dua kru dan enam penumpang berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada awal pagi Jumaat, selepas lokasi nahas dikesan dari udara sekitar jam 3.25 petang Khamis.
Jasad kesemua mangsa kemudian dibawa melalui laluan darat ke Kubu Raya sebelum diterbangkan menggunakan helikopter tentera ke Hospital Bhayangkara untuk proses lanjut.
Helikopter malang bernombor pendaftaran PK-CFX milik Mathew Air Nusantara itu dilaporkan berlepas dari Kabupaten Melawi menuju ke Kabupaten Kubu Raya pada jam 8.34 pagi Khamis, sebelum terputus hubungan kira-kira lima minit kemudian.
Lokasi terakhir pesawat itu dikesan di kawasan hutan tebal di Desa Tapang Tingang, Kecamatan Nanga Taman, Kabupaten Sekadau.
Punca nahas masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
