Ribut salji, angin kencang landa sebahagian besar AS

Salji, hujan beku dan hujan ais menyebabkan gangguan perjalanan serta keadaan jalan raya berbahaya. - AP
Ribut yang semakin kuat pada Ahad melanda sebahagian besar kawasan di Amerika Syarikat (AS), membawa keadaan ribut salji dan angin kencang di wilayah Midwest serta Great Lakes, sekali gus menyebabkan ribuan penerbangan dibatalkan dan gangguan bekalan elektrik meluas, lapor Xinhua.
Hampir 200 juta penduduk dari Dakota hingga Illinois, terjejas akibat cuaca buruk itu dengan lebih 11 juta orang berada di bawah amaran ribut salji.
Ahli meteorologi meramalkan ribut berkenaan akan bergerak ke arah timur menjelang Isnin, meletakkan negeri-negeri Atlantik Tengah serta Washington, D.C. pada risiko tertinggi untuk mengalami angin kencang dan puting beliung.
Ribut itu dijangka bertukar menjadi “siklon bom” dari Ahad hingga Isnin, yang dicirikan oleh penurunan tekanan pusat secara mendadak dalam tempoh 24 jam atau kurang.
Perkembangan itu dijangka membawa kepada tiga ancaman cuaca utama iaitu angin kencang, keadaan ribut salji dan ribut petir yang meluas, menurut ahli meteorologi AccuWeather.
Salji, hujan beku dan hujan ais menyebabkan gangguan perjalanan serta keadaan jalan raya berbahaya.
Amaran keadaan jalan raya berbahaya turut dikeluarkan di Minnesota, Michigan dan Wisconsin, dengan pegawai pengangkutan memberi amaran keadaan akan bertambah buruk pada Ahad berikutan jarak penglihatan terhad dan jalan raya dilitupi salji.
Lapangan terbang di Chicago dan Minneapolis paling teruk terjejas, dengan salji dan hujan dijangka berterusan hingga Isnin.
Lebih 1,600 penerbangan dibatalkan manakala lebih 750 lagi ditangguhkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O'Hare pada petang Ahad, menurut platform penjejakan penerbangan, FlightAware.
Pakar menganggarkan gangguan penerbangan akan bertambah buruk hingga Isnin, dengan jumlah pembatalan penerbangan sudah melebihi 3,000 setakat malam Ahad.
Lebih 210,000 pelanggan utiliti di enam negeri Great Lakes terputus bekalan elektrik setakat petang Ahad, menurut PowerOutage.us yang menjejaki gangguan bekalan elektrik di seluruh negara. Sebahagian gangguan itu bermula sejak Jumaat akibat tiupan angin kencang.
Di Hawaii, hujan berterusan pada Ahad menyebabkan banjir melibatkan kawasan ladang dan kediaman, penutupan jalan raya serta pembukaan pusat perlindungan.
Menjelang tengah hari Ahad, hampir 40,000 pengguna di negeri itu terputus bekalan elektrik.
-- BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

