Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, berpotensi terus catat kenaikan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit berjaya mendepani kejutan semasa dengan baik apabila dolar AS bergelut untuk mengukuh walaupun ketidaktentuan meningkat.
“Oleh itu, ringgit berpotensi untuk terus mengukuh hari ini walaupun ia dijangka kekal diniagakan dalam jajaran kecil,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY), yang merosot di bawah paras 100 mata, mencerminkan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur semasa mereka menunggu keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) hari ini.
“Penurunan DXY di bawah paras 100 mata menunjukkan bahawa peserta pasaran mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati, dengan tumpuan kini beralih kepada hala tuju dasar Fed malam ini,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata ketegangan yang meningkat di Asia Barat — terutamanya konflik berterusan yang melibatkan Iran — telah mengganggu pasaran tenaga global dan mendorong harga bahan api lebih tinggi di AS, menjejaskan kuasa beli pengguna dan kos perniagaan.
“Perkembangan ini berpotensi memberi implikasi terhadap prospek pertumbuhan ekonomi AS dan dijangka mempengaruhi pendirian Fed.
“Kelewatan dalam rundingan diplomatik antara AS dan China turut menambah ketidaktentuan global, mendorong pelabur untuk kekal defensif dalam kedudukan pelaburan mereka,” katanya.
Sementara itu, mata wang tempatan dibuka kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

