Rumah ibadat tanpa kelulusan: Tindakan ketepi saluran sah tidak boleh dikompromi - Sultan Kedah

Sultan Sallehuddin pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman pada Isnin. - Gambar/ SUK Kedah
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, baginda memandang serius isu rumah ibadat bagi semua agama yang dibina tanpa kelulusan yang sah sama ada melibatkan pencerobohan ke atas tanah kerajaan ataupun tanah persendirian.
Baginda turut mengingatkan bahawa setiap perlaksanaan yang dilakukan melibatkan semua perkara perlu berlandaskan peraturan dan undang-undang yang telah dikuatkuasa.
Tambahnya, mana-mana tindakan yang mengetepikan dan mengabaikan saluran serta kelulusan yang sah tidak boleh dikompromi sama sekali.
Sehubungan itu, Sultan Sallehuddin menyeru agar pihak bertanggungjawab supaya mengambil peranan dengan bertindak secara tegas dan proaktif dalam melaksanakan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang.
"Beta (juga) dengan tegas melarang sebarang usaha mempolitikkan isu agama, termasuk cubaan pihak tertentu yang mengambil kesempatan “menangguk di air keruh”, demi kepentingan sempit sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat.
"Beta juga ingin menegaskan bahawa, institusi keagamaan tidak sekali-kali wajar disalahgunakan, bagi kepentingan peribadi atau dijadikan wadah, kepada agenda politik (pihak) tertentu," titahnya.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, baginda menyatakan bahawa isu yang berbangkit ini mempunyai kaitan langsung dengan perpaduan yang menjadi asas kestabilan negeri dan negara.
Justeru, Sultan Sallehuddin menegaskan bahawa keharmornian di dalam sebuah negeri yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya sikap saling menghormati dan memahami batas sensitiviti antara agama atau bangsa perlu dipupuk.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
