Rumah Putih dakwa serangan AS-Israel ke atas Iran hasilkan "keputusan besar"

Menurut Rumah Putih, operasi itu yang kini memasuki hari ke-15 telah menjejaskan dengan ketara keupayaan Iran untuk melancarkan serangan. - Gambar fail/Reuters
Rumah Putih pada Sabtu menyatakan operasi ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran telah menghasilkan “keputusan besar”, dengan mendakwa kerosakan ketara terhadap keupayaan peluru berpandu, tentera laut dan dron Tehran, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X, pentadbiran itu menyatakan kapasiti peluru berpandu balistik Iran telah “dimusnahkan secara berkesan”, manakala tentera laut negara itu dinilai sebagai “tidak lagi mempunyai keupayaan tempur yang berkesan”.
Kenyataan itu turut mendakwa bahawa tentera AS dan Israel telah mewujudkan “penguasaan udara sepenuhnya” ke atas Iran sebagai sebahagian daripada kempen ketenteraan berterusan yang dikenali sebagai “Operation Epic Fury”, yang bermula pada 28 Feb lepas dengan serangan terselaras di seluruh Iran.
Menurut Rumah Putih, operasi itu yang kini memasuki hari ke-15 telah menjejaskan dengan ketara keupayaan Iran untuk melancarkan serangan.
Iran’s ballistic missile capacity is functionally destroyed. Their navy assessed combat ineffective. Complete and total aerial dominance over Iran. Operation Epic Fury is yielding massive results. 🇺🇸 pic.twitter.com/t2Yu9zplzg— The White House (@WhiteHouse) March 14, 2026
Grafik yang disertakan bersama kenyataan itu menyatakan serangan dron Iran telah merosot sebanyak 95 peratus, manakala lebih 90 kapal tentera laut Iran dilaporkan telah ditenggelamkan atau dimusnahkan sepanjang kempen itu.
Rumah Putih turut mendakwa bahawa lebih 6,000 sasaran di dalam Iran telah diserang sejak operasi itu bermula.
Sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
-- BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

