Rundingan dengan AS berlangsung dalam suasana keraguan, syak wasangka - Iran

Baqaei menekankan kerumitan agenda rundingan, sambil menjelaskan bahawa isu berkaitan Selat Hormuz serta perkembangan serantau yang lebih luas menjadikan perbincangan itu semakin sukar.
Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei berkata adalah “perkara biasa” apabila tiada persetujuan dicapai dengan Amerika Syarikat (AS) dalam hanya satu hari rundingan di Islamabad, memandangkan suasana ketidakpercayaan yang mendalam akibat konflik baru-baru ini, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar tempatan.
Bercakap kepada stesen televisyen negara Iran, Baqaei mengulas mengenai rundingan tidak langsung antara delegasi AS dan Iran yang berlangsung di ibu negara Pakistan itu, sambil menyifatkan ia berlangsung dalam suasana yang bukan sahaja dicengkam ketidakpercayaan, malah syak wasangka susulan perang selama 40 hari.
“Rundingan ini berlangsung dalam suasana yang bukan sahaja diselubungi ketidakpercayaan, malah keraguan dan syak wasangka, ekoran perang selama 40 hari yang dicetuskan buat kali kedua dalam tempoh sembilan bulan oleh AS dan Israel.
“Justeru, adalah perkara biasa apabila tiada persetujuan dapat dicapai dalam satu pertemuan.
"Dalam apa jua keadaan, tiada siapa pun yang meletakkan harapan sedemikian,” kata beliau.
Baqaei turut menekankan kerumitan agenda rundingan, sambil menjelaskan bahawa isu berkaitan Selat Hormuz serta perkembangan serantau yang lebih luas menjadikan perbincangan itu semakin sukar.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada akan ada lagi pusingan rundingan seterusnya.
Dalam kenyataan berasingan di platform media sosial X, beliau berkata: “Dalam tempoh 24 jam lalu, perbincangan diadakan mengenai pelbagai dimensi topik utama rundingan termasuk Selat Hormuz, isu nuklear, pampasan perang, pelonggaran sekatan, serta penghentian sepenuhnya perang terhadap Iran dan di rantau ini.”
“Kejayaan proses diplomatik ini bergantung pada kesungguhan dan niat baik pihak lawan, tidak mengemukakan tuntutan berlebihan dan permintaan yang menyalahi undang-undang, serta menerima hak dan kepentingan sah Iran,” katanya.
Baqaei turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan serta rakyat Pakistan yang berhati mulia dan budiman atas kesediaan menjadi tuan rumah rundingan ini serta usaha murni mereka dalam memajukan proses berkenaan.
Sementara itu, agensi berita Mehr melaporkan bahawa delegasi Iran telah berlepas meninggalkan Pakistan.
Rundingan tidak langsung antara AS dan Iran, dengan Pakistan bertindak sebagai pengantara berlangsung kira-kira 21 jam sebelum berakhir tanpa sebarang persetujuan.
-- BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

