Rundingan Hamas-AS di Kaherah berakhir tanpa kemajuan ketara bagi gencatan senjata Gaza

Rundingan antara Hamas dan Amerika Syarikat (AS) di Kaherah berakhir “tanpa kemajuan ketara” untuk memajukan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi yang memetik dua sumber Palestin pada Jumaat.
Rundingan itu, yang pertama seumpamanya sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, menghimpunkan Ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya, pegawai Mesir; Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nickolay Mladenov serta penasihat kanan AS, Aryeh Lightstone, menurut sumber yang bercakap kepada Anadolu dengan syarat nama mereka tidak didedahkan.
Seorang daripada sumber berkata, “rundingan berakhir tanpa kemajuan ketara ke arah peralihan ke fasa kedua,” susulan perbezaan pandangan mengenai syarat utama.
Rundingan itu diadakan sebagai sebahagian usaha melengkapkan perjanjian gencatan senjata di bawah pelan yang dicadangkan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Hamas menekan pihak pengantara supaya memastikan Israel mematuhi komitmen yang digariskan dalam fasa pertama.
Trump mengumumkan pelaksanaan fasa kedua pada pertengahan Januari di bawah rangka kerja yang disokong Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB yang diluluskan pada 17 Nov 2025.
Fasa pertama yang dilaksanakan pada Oktober 2025 merangkumi gencatan senjata dan pertukaran tahanan antara Israel dan puak Palestin.
Bagaimanapun, sumber Palestin menyatakan, Israel terus melanggar perjanjian itu hampir setiap hari.
Seorang sumber Palestin menyifatkan cadangan yang dibentangkan dalam rundingan itu sebagai “tidak adil” kerana menerima tuntutan Israel sambil mengabaikan kepentingan Palestin serta keperluan kemanusiaan di Gaza.
“Kertas cadangan itu mengabaikan komitmen Israel di bawah fasa pertama, yang hanya sebahagiannya dilaksanakan,” kata sumber itu sambil memaklumkan bantahan daripada Hamas dan puak Palestin lain.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, Israel dilaporkan gagal memenuhi komitmen utama termasuk menghentikan serangan dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, makanan serta perubatan pada tahap yang dipersetujui ke Gaza, menurut pegawai Palestin.
Pelanggaran harian itu mengakibatkan 766 rakyat Palestin terbunuh dan 2,147 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sumber itu menambah, Hamas telah memenuhi komitmennya termasuk membebaskan semua tawanan Israel yang masih hidup serta memulangkan mayat, walaupun berdepan keadaan lapangan dan logistik yang sukar.
Sebaliknya, Israel terus melaksanakan tindakan ketenteraan, mengehadkan penghantaran bantuan serta menghalang kemasukan bahan pembinaan semula dan peralatan berat yang diperlukan untuk membersihkan runtuhan, katanya.
Lintasan Rafah kekal “dibuka secara nominal,” namun sekatan ketat masih dikenakan terhadap pergerakan pesakit dan individu cedera, menurut sumber itu.
Evakuasi perubatan bermula pada 2 Feb selepas Israel membuka semula secara terhad bahagian Palestin di lintasan itu yang dikawalnya sejak Mei 2024.
Secara purata, kira-kira 50 orang, terdiri daripada pesakit dan pengiring mereka, keluar dari Gaza setiap hari, manakala dianggarkan 22,000 individu cedera dan sakit memerlukan rawatan di luar negara, menurut pihak berkuasa lintasan Palestin.
Sumber itu juga berkata, Israel tidak mematuhi garis pengunduran yang dipersetujui termasuk “Garis Kuning,” dan telah mara ke kawasan tambahan di dalam Gaza.
“Garis Kuning” merujuk kepada garis pengunduran Israel yang ditetapkan di bawah perjanjian gencatan senjata, yang memisahkan kawasan timur di bawah kawalan Israel, kira-kira 53 peratus wilayah itu, daripada kawasan barat yang boleh diakses rakyat Palestin.
Beliau menambah, loji jana kuasa Gaza kekal tidak beroperasi sejak Oktober 2023.
Sumber Palestin kedua berkata, rundingan berdepan halangan besar termasuk tuntutan Israel supaya Hamas melucutkan senjata sebelum kemajuan dalam isu kemanusiaan atau pengunduran dari sebahagian kawasan Gaza dapat dicapai.
Hamas dan puak lain menolak cadangan itu sebagai “tidak boleh diterima,” sambil menegaskan Israel mesti terlebih dahulu memenuhi komitmennya di bawah fasa pertama sebelum rundingan diteruskan.
-- BERNAMA-ANADOLU

