Rusia harap usaha diplomatik berhubung Iran diteruskan - Lavrov

Sergey Lavrov mengesahkan Rusia bersedia untuk memudahkan normalisasi hubungan antara negara Teluk dan Iran. - Gambar fail
Pihak Rusia menjangkakan berita positif mengenai penyelesaian situasi mengenai Iran dan berharap untuk meneruskan usaha diplomatik ke arah itu, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov.
Agensi Berita Rusia, TASS melaporkan Lavrov berkata demikian dalam ucapan pembukaannya semasa perbincangan dengan pemangku Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Libya Taher al-Baour.
“Kami memberi perhatian khusus pada peringkat ini terhadap krisis di zon Teluk Parsi, krisis yang berpunca daripada pencerobohan tanpa provokasi Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam Iran.
“Kedua-dua Rusia dan Libya menyokong pemberhentian terpantas sebarang pengulangan penggunaan kekerasan, untuk mewujudkan proses politik dan diplomatik yang mampan.
“Kami harap maklumat yang datang ketika ini menjadi positif dari segi penyambungan semula usaha diplomatik, kerana hanya dengan cara ini perselisihan faham sedia ada dapat diselesaikan sambil memastikan kepentingan semua, saya ulangi, setiap negeri di rantau ini, termasuk rakan Arab kita di Teluk,” tegas Lavrov.
Diplomat tertinggi Rusia itu mengesahkan Rusia bersedia untuk memudahkan normalisasi hubungan antara negara Teluk dan Iran.
"Selama beberapa tahun ini, kami telah berusaha untuk menggerakkan kalangan akademia dan sains politik untuk merumuskan konsep keselamatan bagi Teluk Parsi.
“Dan menjadi kepercayaan kami bahawa peristiwa baru-baru ini yang melibatkan serangan ke atas Iran dan akibat buruknya terhadap negara-negara Arab pantai, semuanya menentukan kerelevanan dan juga mendesak usaha tambahan ke arah normalisasi hubungan antara negara pantai Teluk,” tegasnya.
Lavrov turut menambah bahawa Libya dan Rusia berkongsi penilaian yang sama tentang isu yang berlaku di dunia, termasuk di kawasan Asia Barat dan Afrika Utara.
-- BERNAMA-TASS
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

