Segerakan kerangka tindak balas nasional di Parlimen - Howard Lee

Howard Lee menggesa kerajaan agar segera mendapatkan kelulusan Parlimen bagi satu kerangka tindak balas nasional yang bersasar, termasuk perbelanjaan luar jangka strategik, bagi melindungi rakyat, perniagaan, pekerjaan dan sektor strategik negara. - Gamba
Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee memberi amaran Malaysia berpotensi berdepan tiga kejutan bekalan berturut-turut melibatkan tenaga, baja dan helium sekiranya ketegangan geopolitik global terus memuncak dan gangguan rantaian bekalan berpanjangan berlaku.
Beliau berkata, kejutan bekalan tenaga yang sedang disaksikan ketika ini hanyalah gelombang pertama dan situasi boleh menjadi lebih serius sekiranya berlaku peningkatan eskalasi, termasuk penutupan Selat Hormuz untuk tempoh lebih lama.
“Jika dunia bergerak daripada kejutan tenaga kepada kejutan baja, diikuti helium, kesannya bukan sahaja dirasai di pam minyak, tetapi akan merebak ke pengeluaran makanan, kos pertanian, logistik, hospital, elektronik, semikonduktor, gentian optik serta rantaian bekalan pembuatan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa berkata, walaupun Malaysia memasuki krisis global ini dari kedudukan yang relatif lebih kukuh berbanding sebahagian negara serantau, tanda-tanda bahaya sudah pun kelihatan dan keadaan yang lebih buruk boleh berlaku lebih cepat daripada jangkaan.
Menurut beliau, baja merupakan input asas kepada pengeluaran makanan manakala helium pula kritikal kepada sektor kesihatan dan industri berteknologi tinggi, justeru sebarang gangguan berpanjangan berisiko mencetuskan kejutan berantai kepada ekonomi dan kehidupan seharian rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar segera mendapatkan kelulusan Parlimen bagi satu kerangka tindak balas nasional yang bersasar, termasuk perbelanjaan luar jangka strategik, bagi melindungi rakyat, perniagaan, pekerjaan dan sektor strategik negara.
“Nama inisiatif itu kurang penting, sama ada rangsangan fiskal atau perisai kontingensi. Yang penting ialah fungsinya, satu tindak balas yang mampu menampan kesan kejutan berantai ini sebelum ia melanda sepenuhnya,” katanya.
Beliau menegaskan, bantuan, subsidi dan insentif perlu dilaksanakan secara berdisiplin, bersasar dan berasaskan output, bukannya sokongan menyeluruh berasaskan input semata-mata, bagi memastikan hasil ekonomi terus berfungsi.
Antara sektor yang perlu dipastikan terus beroperasi termasuk pengeluaran makanan dan input pertanian, logistik dan pengangkutan barangan, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan, utiliti dan tenaga, pelabuhan, infrastruktur digital serta pembuatan strategik seperti semikonduktor dan elektrik serta elektronik.
Howard turut menekankan keperluan ketelusan penuh kepada Parlimen mengenai tahap pendedahan Malaysia terhadap gangguan bekalan, termasuk simpanan bahan api dan LNG, baja, makanan ternakan, import makanan, helium, input perubatan, laluan perkapalan dan bahan mentah industri.
“Kita memerlukan kejelasan mengenai simpanan sedia ada, titik kerentanan, pilihan alternatif serta pencetus yang akan mengaktifkan campur tangan kerajaan,” katanya.
Dalam masa sama, Malaysia, katanya, tidak mampu mengurus krisis secara reaktif, sebaliknya, memerlukan perancangan awal dan pandangan jauh sebagai tanggungjawab utama kerajaan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

