Selangor lancar pakej ekonomi RM130.4 juta, fokus tangani kos sara hidup

Kerajaan Negeri Selangor melancarkan pakej pengukuhan daya tahan ekonomi bernilai RM130.4 juta bagi membantu rakyat dan industri menghadapi cabaran semasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Kerajaan Negeri Selangor melancarkan pakej pengukuhan daya tahan ekonomi bernilai RM130.4 juta bagi membantu rakyat dan industri menghadapi cabaran semasa termasuk dalam mendepani krisis tenaga global.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pakej fasa pertama itu merangkumi langkah jangka pendek dan sederhana bagi mengurangkan impak krisis terhadap rakyat.
“Hari ini, Kerajaan Negeri akan melancarkan pakej pengukuhan daya tahan Selangor yang merangkumi beberapa langkah kesegeraan dan sederhana untuk membantu rakyat dan industri menghadapi situasi yang bakal kita hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Khas berhubung Strategi Persediaan Kerajaan Negeri Selangor Mendepani Krisis Asia Barat di Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini pada Khamis.
Menurut beliau, pakej itu memberi tumpuan kepada lima keutamaan utama iaitu keterjaminan bekalan makanan, pengurangan kos sara hidup khususnya bagi golongan rentan, kawalan inflasi, peningkatan penggunaan pengangkutan awam serta bantuan bersasar.
Antara langkah utama termasuk pemberian baucar RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 rakyat Selangor dengan peruntukan RM30 juta bagi membantu golongan terkesan menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Untuk terus mengawal kesan inflasi, kita memperkenalkan baucar RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 rakyat Selangor supaya tiada yang terjerumus ke dalam kemiskinan sekiranya kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan,” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut meningkatkan insentif penggunaan pengangkutan awam dengan bantuan RM30 sebulan kepada 50,000 pengguna selama enam bulan, melibatkan peruntukan sebanyak RM10.4 juta.
Langkah tersebut bertujuan mengurangkan kos perjalanan harian melibatkan perkhidmatan seperti van, DRT, bas transit dan kereta api.
Dalam usaha meringankan beban keluarga, kerajaan negeri juga akan melaksanakan program sarapan percuma melibatkan 873 sekolah di seluruh Selangor bermula Ogos 2026 melalui kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bagi sektor agromakanan, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi membantu pesawah, nelayan, petani dan penternak menampung kos bahan api serta input pertanian susulan kenaikan harga diesel.
“Inisiatif ini termasuk bantuan kepada pesawah sehingga RM500 bagi setiap hektar serta bantuan bulanan kepada nelayan dan pengusaha pertanian bagi memastikan kos tidak meningkat secara mendadak,” ujarnya.
Kerajaan negeri turut menyalurkan RM6 juta melalui platform KoHijrah bagi menyokong koperasi dalam sektor peruncitan dan logistik, selain memperluaskan bantuan kepada peniaga tempatan.
Dalam masa sama, sesi libat urus bersama industri pembinaan, pembuatan dan logistik akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan bahan serta kos dapat dikawal secara lebih berkesan.
Beliau menegaskan cabaran semasa berpotensi menjadi luar biasa dan memerlukan kerjasama semua pihak tanpa menyalahkan antara satu sama lain.
“Ini bukan masa untuk menuding jari atau menyalahkan sesama sendiri, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu bagi meminimumkan kesan terhadap rakyat dan bangkit lebih kukuh selepas krisis,” ujarnya.
Pakej tersebut diharap dapat memperkukuh daya tahan ekonomi negeri serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan semasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

