Starmer panggil gergasi media sosial bincang keselamatan kanak-kanak

Starmer dan Setiausaha Teknologi Liz Kendall akan meminta penjelasan daripada wakil Meta, X, Snap, TikTok dan Google berhubung usaha mereka melindungi kanak-kanak. - Gambar fail
Perdana Menteri Britain Keir Starmer akan memanggil wakil kanan TikTok, X, Meta dan beberapa lagi syarikat media sosial ke Downing Street bagi mendesak mereka mempertingkat usaha melindungi kanak-kanak, ketika kerajaan meneliti sekatan baharu, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Pertemuan pada Khamis itu akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan syarikat media sosial memikul tanggungjawab lebih besar, dengan Starmer memberi amaran bahawa kegagalan bertindak akan membawa kesan serius.
Starmer dan Setiausaha Teknologi Liz Kendall akan meminta penjelasan daripada wakil Meta, X, Snap, TikTok dan Google berhubung usaha mereka melindungi kanak-kanak serta menangani kebimbangan ibu bapa.
Mesyuarat itu diadakan ketika kerajaan sedang menjalankan rundingan awam mengenai langkah melindungi kanak-kanak dalam talian, termasuk kemungkinan melaksanakan larangan media sosial seperti di Australia bagi golongan bawah 16 tahun, mengehadkan ciri ketagihan dan memperketat kawalan terhadap chatbot kecerdasan buatan (AI).
“Media sosial membentuk cara kanak-kanak melihat diri mereka, persahabatan mereka dan dunia di sekeliling mereka.
"Apabila ia datang dengan risiko sebenar, mengabaikannya bukan satu pilihan,” kata pemimpin Parti Buruh itu.
Beliau berkata ibu bapa berhak mengharapkan tindakan segera dan menegaskan kerajaan akan mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk memastikan kanak-kanak selamat dalam talian.
Menurut Downing Street, sesetengah syarikat media sosial telah memperluas langkah perlindungan seperti mematikan fungsi autoplay untuk pengguna muda, memberi ibu bapa lebih kawalan terhadap masa skrin dan memperkenalkan had waktu penggunaan, namun kerajaan berpandangan langkah itu masih belum mencukupi.
Cadangan larangan bagi golongan bawah 16 tahun bagaimanapun menerima tentangan daripada industri, dengan Google memberi amaran bahawa pendekatan itu bukan penyelesaian terbaik dan mungkin mendorong kanak-kanak ke ruang internet yang lebih berbahaya serta kurang dipantau.
Kerajaan berjanji bertindak pantas selepas rundingan awam Growing Up In The Online World berakhir pada 26 Mei, dengan Downing Street memaklumkan lebih 45,000 maklum balas telah diterima setakat ini termasuk daripada hampir 6,000 golongan muda.
-- BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

