Strategi keterjaminan makanan negara perlu diperkukuh depani konflik Asia Barat - Ahli akademik

Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, Profesor Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah berkata, langkah itu penting memandangkan Malaysia ialah negara pengimport makanan bersih sejak 1989, selain menyifatkan krisis semasa perlu dijadikan pemangkin untuk kerajaan menggalakkan pengeluaran domestik secara intensif bagi menjamin kelangsungan bekalan.
"Kita harus berbalik kepada amalan (seperti) Tun Razak (menerusi Buku Hijau) supaya pengeluaran makanan berintensif dapat ditingkatkan.
“Kita tidak boleh berada dalam kedudukan daya pengeluaran makanan menurun," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam Isnin.
Selain itu, beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak dan gas memberikan kelebihan dalam mendepani impak kenaikan harga tenaga global, sekali gus membolehkan negara mengekalkan kestabilan ekonomi berbanding negara pengimport lain.
Beliau berkata, pengurusan ekonomi negara yang baik serta lebihan eksport dalam perdagangan masih memberikan asas yang kukuh kepada Malaysia untuk mengharungi krisis geopolitik yang dijangka berpanjangan itu.
Sementara itu, Profesor Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Lyndon menyarankan kerajaan supaya meneliti kesan konflik bagi tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang.
Beliau berkata, komunikasi antara kerajaan dan rakyat perlu lebih jelas bagi mengelakkan kebimbangan melampau seperti pembelian panik dalam kalangan masyarakat pada peringkat akar umbi.
“… panic buying (pembelian panik) itu saya rasa tidak sepatutnya berlaku kerana negara kita diurus dengan baik, perkara pertama yang perlu dilakukan kerajaan adalah memastikan komunikasi antara kerajaan dan rakyat perlu jelas,” katanya.
-- BERNAMA

