Struktur konkrit 'jimat kos' punca nahas pesawat Jeju Air

Struktur tersebut berada hanya 250 meter dari penghujung landasan, kawasan yang sepatutnya bebas daripada sebarang objek keras. -Gambar fail
Struktur konkrit yang dibina semata‑mata untuk menjimatkan kos dikenal pasti sebagai punca utama tragedi pesawat Jeju Air Flight 2216 yang mengorbankan 179 nyawa di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada Disember tahun lalu.
Menurut laporan Badan Audit dan Pemeriksaan Korea Selatan (BAI), Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan membina struktur setinggi lima meter itu menggunakan konkrit kukuh bagi menempatkan antena localiser, bertentangan dengan piawaian keselamatan antarabangsa yang menetapkan penggunaan bahan mudah pecah (frangible) bagi mengurangkan impak pelanggaran.
Struktur tersebut berada hanya 250 meter dari penghujung landasan, kawasan yang sepatutnya bebas daripada sebarang objek keras.
Laporan audit menyatakan keputusan itu dilakukan bagi mengurangkan kos kerja tanah dan meratakan permukaan landasan, walaupun amaran keselamatan telah dikeluarkan sejak lebih sedekad lalu.
“Struktur tersebut dibina sedemikian rupa hanya untuk menjimatkan wang, bukannya untuk menyelamatkan nyawa.
"Jika kementerian mematuhi peraturan keselamatan dengan menggunakan bahan mudah pecah (frangible), semua penumpang dan kru pesawat Boeing 737-800 itu pasti terselamat,” menurut dapatan audit yang dikeluarkan hari ini.
Pesawat Jeju Air berkenaan dilaporkan melakukan pendaratan kecemasan selepas berdepan serangan burung sebelum menggelongsor di landasan dan merempuh struktur konkrit itu, mengakibatkan tangki bahan api pecah dan mencetuskan kebakaran besar yang menyekat laluan keluar penumpang.
Analisis simulasi kerajaan mendapati pesawat sepatutnya mampu berhenti selamat jika struktur berbahaya itu tidak wujud.
Susulan pendedahan tersebut, kerajaan Korea Selatan mengarahkan perobohan segera struktur sama di tujuh lagi lapangan terbang di seluruh negara.
Pihak pendakwaan kini meneliti kemungkinan tindakan undang‑undang terhadap pegawai kementerian yang terlibat dalam kelulusan projek yang didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
