Surat Epstein: Mahkamah tolak saman fitnah US$10 bilion Trump terhadap WSJ

Trump gagal membuktikan WSJ bertindak dengan “niat jahat sebenar” ketika menerbitkan laporan mengenai sepucuk surat tahniah yang didakwa mengandungi namanya dan dihantar kepada Jeffrey Epstein. - Gambar/ Reuters
Mahkamah daerah Amerika Syarikat (AS) di Florida menolak saman fitnah berjumlah US$10 bilion yang difailkan Presiden Donald Trump terhadap Wall Street Journal, lapor agensi berita Jerman dpa.
Hakim Darrin P. Gayles pada Isnin memutuskan bahawa Trump gagal membuktikan secara munasabah bahawa akhbar itu bertindak dengan “niat jahat sebenar” ketika menerbitkan laporan mengenai sepucuk surat tahniah yang didakwa mengandungi namanya dan dihantar kepada Jeffrey Epstein, pesalah seks yang telah disabitkan dan kini meninggal dunia.
Dalam penghakimannya, hakim berkata aduan berkenaan juga “langsung tidak hampir” memenuhi piawaian undang-undang yang diperlukan.
Wall Street Journal tahun lalu melaporkan mengenai sepucuk surat yang didakwa dihantar kepada Epstein sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50 pada 2003, yang memaparkan nama Trump dan mencadangkan hubungan lanjut antara kedua-dua lelaki itu.
Surat berkenaan mengandungi teks berunsur seksual serta lakaran figura wanita yang dilukis menggunakan pen penanda. Trump menafikan beliau menulis surat itu.
Susulan laporan itu, beliau memfailkan saman menuntut ganti rugi US$10 bilion terhadap akhbar berkenaan dan Rupert Murdoch, yang mempunyai kepentingan dalam Wall Street Journal.
Trump turut memfailkan tindakan undang-undang terhadap BBC dengan menuntut ganti rugi keseluruhan berjumlah US$10 bilion.
Saman yang difailkan di Florida itu berkaitan pertikaian mengenai suntingan ucapan Trump pada 6 Januari 2021, yang digunakan penyiar berkenaan dalam program Panorama.
Pada hari itu, bangunan Capitol AS di Washington diserbu penyokong presiden ketika itu.
Program itu disiarkan tidak lama sebelum pilihan raya presiden AS pada November 2024. Pendengaran kes itu dijadual berlangsung pada Februari 2027.
Sejak mula menjadi presiden, Trump telah mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa organisasi media, termasuk New York Times, Washington Post dan CNN.
-- BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
