[TERKINI] Selangor henti beri lesen ternak babi, ladang sedia ada ditutup berperingkat
![[TERKINI] Selangor henti beri lesen ternak babi, ladang sedia ada ditutup berperingkat [TERKINI] Selangor henti beri lesen ternak babi, ladang sedia ada ditutup berperingkat](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://media.astroawani.com/awani/media/uploads/image/2026-02/TB_Amirudin%20Shari.jpg?VersionId=4k8hubOEHrHBh.mY75Wf6KeePrMuRrgJ)
Bagi ladang penternakan yang masih beroperasi, Kerajaan Negeri memutuskan supaya penutupan dibuat dengan kadar lebih pantas secara berperingkat, kata Amirudin. - Gambar fail
Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk menghentikan pemberian lesen baharu penternakan babi di seluruh negeri berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan titah terbaharu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang bagi membincangkan isu berkenaan, susulan titah baginda yang tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sejak Januari lalu, kerajaan negeri telah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi baharu dan menumpukan usaha kepada pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat, sebagai langkah awal menjunjung titah Sultan Selangor yang dizahirkan sebelum ini.
"Bagi ladang penternakan yang masih beroperasi, Kerajaan Negeri memutuskan supaya penutupan dibuat dengan kadar lebih pantas secara berperingkat, dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor.
"Ketika ini kira-kira 70 peratus keperluan daging babi bagi masyarakat bukan Islam di Selangor telah pun diperoleh melalui import dari negeri lain.
"Selepas keputusan terbaharu ini, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri berkaitan," kata beliau dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Amirudin berkata, sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import selepas ini akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan, selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen di peringkat nasional.
Jelasnya, keputusan ini diambil bagi mengambil kira sensitiviti masyarakat, khususnya berkaitan kebimbangan terhadap impak ladang babi terhadap alam sekitar termasuk isu pencemaran air dan bau.
Beliau turut menyeru semua pihak menghentikan sebarang polemik berhubung isu penternakan babi agar tidak mengganggu keharmonian dan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Selangor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
