[TERKINI] Tahanan warga Pakistan lari dari Penjara Sungai Buloh ditangkap semula
![[TERKINI] Tahanan warga Pakistan lari dari Penjara Sungai Buloh ditangkap semula [TERKINI] Tahanan warga Pakistan lari dari Penjara Sungai Buloh ditangkap semula](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://media.astroawani.com/awani/media/uploads/image/2026-04/TB_BANDUAN_FB%20Polis%20Daerah%20Sungai%20Buloh.jpg?VersionId=X2NXmj4p9etHLLClBOkeBRgJV1LpWSA7)
Suspek, Muhammad Hassan, 24, (gambar) berjaya diberkas semula di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Gombak - Foto fail
Selepas sembilan hari meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh, seorang tahanan warga Pakistan akhirnya berjaya diberkas semula di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Gombak, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata tangkapan dilakukan kira-kira jam 5 petang hasil tindakan bersepadu serta kerjasama pelbagai pihak.
“Sehubungan itu, Polis Selangor merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga banduan terbabit berjaya ditangkap bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis giat memburu tahanan reman berkenaan selepas melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu.
Pada hari kejadian, suspek yang dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, dilaporkan baru selesai menjalani prosiding di Mahkamah Shah Alam berkaitan beberapa kes termasuk kes seksual terhadap kanak-kanak, rompakan dan kesalahan imigresen.
Suspek bagaimanapun meloloskan diri ketika dibawa ke kawasan padang kawad Penjara Sungai Buloh selepas turun dari kenderaan polis, sebelum usaha mengesannya dijalankan secara besar-besaran.
Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

