Thailand arah penjawat awam bekerja dari rumah bagi kurangkan penggunaan tenaga

Pejabat Perdana Menteri Anutin Charnvirakul turut meminta semua agensi menangguhkan lawatan kerja ke luar. - Gambar hiasan
Kerajaan sementara Thailand mengarahkan semua agensi persekutuan dan perusahaan milik negara yang sesuai untuk segera melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) sebagai langkah menjimatkan tenaga di tengah ketidaktentuan geopolitik yang terus memuncak di Asia Barat.
Jurucakap kerajaan, Lalida Prertwiwatthana, berkata langkah itu tertumpu kepada jabatan yang boleh beroperasi tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam, selain bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan sumber dalam sektor kerajaan.
Menurut Lalida, pejabat Perdana Menteri Anutin Charnvirakul turut meminta semua agensi menangguhkan lawatan kerja ke luar negara serta menggantikan program latihan dengan penganjuran aktiviti dalam negara, selaras dengan usaha mengurangkan perbelanjaan tenaga dan operasi kerajaan.
“Agensi kerajaan perlu memastikan perkhidmatan kepada rakyat kekal lancar walaupun dasar WFH dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat Kabinet.
Beliau menambah bahawa kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan situasi tenaga global, dan tidak menolak kemungkinan dasar-dasar sedia ada diperhalusi lagi sekiranya keadaan memerlukan.
Seorang lagi timbalan jurucakap kerajaan, Airin Phanpharit, mendedahkan bahawa Thailand menggunakan purata kira-kira 124 juta liter produk minyak ditapis setiap hari.
Setakat 5 Mac, negara memiliki 8.055 bilion liter rizab minyak, termasuk bekalan komersial dan rizab berkanun.
Purata penggunaan minyak ditapis Thailand dianggarkan sekitar 3.13 juta tong sehari, manakala majoriti keperluan minyak mentahnya masih bergantung kepada import dari Asia Barat.
Airin menjelaskan bahawa jumlah rizab minyak negara kini mencukupi bagi memenuhi sebahagian besar keperluan tenaga dalam jangka terdekat, namun kerajaan tetap melihat keperluan untuk memperkenalkan langkah penjimatan tenaga tambahan di jabatan kerajaan sebagai contoh kepada sektor lain dalam masyarakat.
Kementerian Tenaga Thailand mencadangkan lebih banyak langkah penjimatan untuk agensi kerajaan, termasuk penggunaan peralatan berkecekapan tinggi, pengurusan penggunaan elektrik secara teratur, serta pengurangan operasi fizikal di pejabat bagi meminimakan penggunaan tenaga negara.
Usaha ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Thailand untuk memastikan kestabilan tenaga, terutama ketika ketegangan di Asia Barat berpotensi menggugat pasaran minyak global.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
