Tiga Bersatu negeri mahu Hamzah Zainudin dipecat

Kesemua mereka menyatakan hilang kepercayaan kepada Hamzah, yang didakwa mereka sebagai dalang yang cuba menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin selain cuba menimbulkan perpecahan dalam Bersatu. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin terus menerima tekanan apabila perhubungan parti itu di tiga negeri mendesak supaya Hamzah dipecat.
Tiga negeri itu ialah, Negeri Sembilan, Johor dan Perak.
Memorandum yang dimulakan oleh tujuh daripada Sembilan pemimpin bahagian Bersatu Negeri Sembilan mendesak Ahli Parlimen Larut itu dipecat.
Difahamkan memorandum itu diketuai Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker yang juga Ketua Bahagian Bersatu Rasah dihantar kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Februari lalu.
Melalui memorandum itu, kesemua mereka menyatakan hilang kepercayaan kepada Hamzah, yang didakwa mereka sebagai dalang yang cuba menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin selain cuba menimbulkan perpecahan dalam Bersatu.
Memorandum itu juga dikemukakan bagi menegaskan keperluan penguatkuasaan tegas Perlembagaan dan disiplin parti demi memelihara kestabilan organisasi, kewibawaan kepimpinan serta kesiapsiagaan Bersatu menghadapi PRU16 dan Pilihan Raya Negeri akan datang.
Selain itu, pemimpin bahagian Bersatu di Perak juga senada menghantar memorandum kepada Muhyiddin.
Memorandum Negeri Perak itu ditandatangani oleh Ketua-Ketua Bahagian Tambun, Batu Gajah, Ipoh Barat, Bagan Datuk, Tanjong Malim, Taiping, Lenggong, Lumut, Parit Buntar, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Gerik, Beruas dan Parit.
Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal dalam kenyataan di Facebook berkata, pihaknya mendesak Lembaga Disiplin BERSATU supaya segera mengambil tindakan tegas terhadap Hamzah.
Tindakan sama juga katanya, perlu diambil ke atas mana-mana penyokong Hamzah yang didapati berulang kali mengeluarkan kenyataan terbuka dan melakukan tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Parti, keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi serta disiplin organisasi.
"Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tindakan dan kenyataan oleh pihak-pihak tertentu yang berkait rapat dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin jelas mencabar autoriti parti dan mencetuskan ketidakharmonian dalaman.
"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menjejaskan kestabilan serta kesiapsiagaan parti menghadapi cabaran politik yang mendatang," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

