Tiga lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika curi kabel

Tiga lelaki ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel di kawasan tanah lapang Taman Rapat Perdana di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10 pagi memaklumkan kejadian yang berlaku di kawasan tiang elektrik milik Tenaga Nasional Bhd.
“Sepasukan polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan mendapati tiga lelaki tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka terkena renjatan elektrik semasa cuba memotong kabel elektrik pada tiang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
-- BERNAMA

