Tok Mat wakili Anwar ke sidang khas isu Selat Hormuz bersama PM UK, Presiden Perancis

Mohamad akan mewakili Anwar menyertai perbincangan yang turut melibatkan Starmer. - Gambar fail
Presiden Perancis, Emmanuel Macron menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menjemputnya menyertai persidangan khas mengenai Selat Hormuz yang dijadual berlangsung malam ini.
Anwar berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, akan mewakilinya menyertai perbincangan yang turut melibatkan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer.
“Saya akan wakilkan kepada Menteri Luar Tok Mat Hasan, tapi pendirian kita mengenai laluan tersebut harus ada kebebasan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba di sini hari ini.
Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia dalam mengiktiraf hak Republik Islam Iran dan menolak tindakan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang melakukan serangan terhadap Iran.
“Kita tidak menafikan hak Iran dan kegelisahan kita kerana tindakan Israel dan AS terhadap Iran dahulu, jadi kita mengambil sikap yang adil dan bebas,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai tujuh kapal Malaysia yang melalui Selat Hormuz, Anwar menyatakan kerajaan memantau rapat perkembangan perjalanan semua kapal terbabit yang dalam perjalanan ke Malaysia.
Menurutnya, satu kapal telah pun tiba manakala sebuah lagi bakal memasuki perairan Malaysia dalam masa terdekat.
“Yang lain... dengan keputusan baharu walaupun tidak lepas tetapi kita (kerajaan) masih pantau. Iran memang telah beri kelulusan kepada kapal tersebut tetapi satu masih mempunyai masalah kerosakan dan tidak boleh berlepas,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

