Trump persenda perunding beri amaran kenaikan harga minyak

Trump turut mempersendakan amaran lanjut kononnya kenaikan harga minyak akan mencetuskan kemelesetan ekonomi. - Foto REUTERS
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mempersendakan perunding yang memberi amaran bahawa harga minyak boleh melonjak mendadak susulan konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Berucap pada satu acara di Las Vegas, Trump merujuk kepada turun naik harga minyak sejak Washington dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.
Beliau berkata perundingnya telah memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh menyebabkan harga minyak mencecah AS$300 setong.
“Kami ada perunding, mereka sangat berbakat, yang berkata, ‘Tuan, kalau tuan buat ini, bahan api akan naik ke AS$300 setong,’” kata Trump sambil meniru gaya percakapan perunding berkenaan, yang tidak dinamakan.
Trump bagaimanapun berkata beliau tidak mempercayai ramalan itu.
“Saya kata, saya rasa tidak. Saya rasa keadaan akan baik. Kita sentiasa cari jalan,” katanya.
Beliau turut mempersendakan amaran lanjut kononnya kenaikan harga minyak akan mencetuskan kemelesetan ekonomi.
“Mereka kata, ‘Tuan, jangan buat, kegawatan akan berlaku,’” ujar Trump, sebelum menolak kebimbangan itu dengan merujuk kepada paras tertinggi baharu pasaran saham.
Kenyataan Trump dibuat ketika banyak negara di seluruh dunia berdepan kekurangan bahan api dan kenaikan harga tenaga, susulan konflik AS–Israel dengan Iran serta gangguan rantaian bekalan tenaga global.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini memberi amaran bahawa krisis berpanjangan di Selat Hormuz berisiko mencetuskan bencana makanan global, kerana laluan itu penting bagi eksport tenaga dan baja.
Gangguan berterusan, menurut PBB, akan meningkatkan harga makanan, menjejaskan hasil tanaman dan paling memberi kesan kepada negara-negara rentan.
Ketegangan geopolitik yang berlarutan terus menimbulkan kebimbangan pasaran, walaupun Trump berulang kali menegaskan keyakinannya terhadap daya tahan ekonomi AS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
