UCMI dimasyhur sebagai Universiti Antarabangsa MAIWP

Kolej milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), hari ini dimasyhurkan sebagai Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) selepas dinaik taraf pada 31 Dis lepas.
Kolej milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), hari ini dimasyhurkan sebagai Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) selepas dinaik taraf pada 31 Dis lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, penaikan taraf kepada universiti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi itu mencerminkan kematangan institusi serta komitmen baharu terhadap masa depan.
"Perubahan status daripada kolej universiti kepada universiti bukan sekadar penjenamaan semula tetapi lambang kematangan institusi dan komitmen baharu dalam memikul tanggungjawab yang lebih luas untuk melahirkan insan yang cemerlang akademik serta teguh nilai dan prinsipnya," katanya ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen UniMAIWP Kali Ke-16, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sejak awal penubuhannya, institusi itu membuka akses pendidikan kepada golongan memerlukan, khususnya dalam kalangan asnaf dan berpendapatan rendah.
"Pendidikan telah mengangkat martabat, membuka peluang dan membina keyakinan generasi hari ini. Di bawah naungan MAIWP, institusi ini bukan sahaja menjadi pusat ilmu tetapi platform pembangunan insan secara menyeluruh," katanya.
UniMAIWP ditubuhkan pada 1993 sebagai Sekolah Kejururawatan di bawah kendalian Pusat Rawatan Islam Sdn Bhd sebelum didaftarkan sebagai Kolej Kejururawatan Pusrawi pada 2003 dan dinaik taraf kepada Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) pada 2010.
Pada 2018, PICOMS dinaik taraf sebagai kolej universiti dengan nama Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, sebelum dijenamakan semula sebagai Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) pada 2022.
Dalam majlis konvokesyen itu, sebanyak 1,269 graduan diraikan merangkumi pelbagai peringkat pengajian, termasuk Doktor Falsafah, sarjana, ijazah sarjana muda, diploma, asasi serta sijil profesional.
Penyampaian skrol kepada graduan disempurnakan oleh Canselor UniMAIWP, Tan Sri Azman Hashim; Pro-Canselor, Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Canselor UniMAIWP, Datuk Seri Prof Dr Noor Inayah Ya’akub.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

