Video tular: Pangku wanita atas riba, pemandu bas dipecat serta-merta

Tangkap layar video tular memaparkan pemandu bas itu memangku seorang wanita ketika memandu. - Gambar/ Media sosial
Pemandu bas ekspres yang dirakam memandu sambil memangku seorang wanita di atas riba, ditamatkan perkhidmatan serta-merta selepas rakaman itu menjadi tular sejak semalam.
Sri Maju Group dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan pemandu terbabit merupakan kakitangan mereka, dan kejadian itu berlaku ketika bas itu dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin, Johor Bahru pada Ahad.
Menurut syarikat itu, tindakan pemandu terbabit mengecewakan, membimbangkan serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan etika profesional pemandu.
“Keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan kami. Perbuatan tersebut adalah pelanggaran serius dan tidak boleh diterima sama sekali,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Sri Maju Group memaklumkan, selain menamatkan perkhidmatan pemandu itu, beberapa tindakan lain juga telah diambil termasuk membuat laporan polis dan melaporkan insiden kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk siasatan lanjut.
Syarikat itu turut memohon maaf kepada semua penumpang dan orang awam yang terkesan selain menegaskan komitmen mereka untuk memperketatkan sistem pemantauan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam semua bas.
“Sri Maju Group tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh mengancam keselamatan penumpang,” katanya lagi.
Syarikat itu turut menjelaskan langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenal pasti pemandu bas yang tular itu dan telah menjalankan siasatan segera termasuk memanggilnya untuk diambil keterangan.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk arahan lanjut sebaik siasatan selesai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

