18 pelaut Malaysia masih bertugas di zon konflik Asia Barat

Setakat ini kebanyakan mereka masih menjalankan operasi seperti biasa dengan pemantauan keselamatan yang ketat. - Gambar hiasan
Sebanyak 18 pelaut luar pesisir (offshore) Malaysia yang juga ahli Persatuan Pelaut Luar Pesisir Malaysia (MOS) dilaporkan sedang bertugas di beberapa kawasan operasi di Asia Barat yang kini dikategorikan sebagai zon konflik.
Presiden MOS Kapten Tunku Ismail Tunku Yahaya berkata maklumat tersebut diperoleh menerusi rangkaian ahli persatuan itu yang kini berkhidmat di kapal sokongan industri minyak dan gas di rantau berkenaan.
Beliau berkata setakat ini kebanyakan mereka masih menjalankan operasi seperti biasa dengan pemantauan keselamatan yang ketat oleh syarikat perkapalan serta pengurusan kapal.
“Industri luar pesisir mempunyai prosedur keselamatan tertentu bagi operasi di kawasan berisiko tinggi dan perkara ini sentiasa dipantau oleh pihak operator serta syarikat kapal,” katanya kepada Bernama.
Tunku Ismail berkata MOS yang mempunyai lebih 1,200 ahli turut dimaklumkan bahawa pelaut terbabit ditempatkan di beberapa lokasi operasi termasuk di Arab Saudi, Qatar serta sektor Emiriah Arab Bersatu meliputi Dubai dan Abu Dhabi.
Bagaimanapun, katanya keselamatan serta kebajikan pelaut Malaysia perlu sentiasa menjadi keutamaan terutama bagi mereka yang bertugas di kawasan berisiko tinggi.
“MOS berharap syarikat perkapalan dan operator memastikan pelaut yang ditempatkan di kawasan berisiko tinggi diberikan perlindungan sewajarnya termasuk aspek keselamatan, perlindungan insurans serta pampasan berkaitan operasi di kawasan konflik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MOS akan terus memantau perkembangan semasa selain berhubung dengan ahli-ahlinya yang berada di kawasan operasi bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.
Seramai 18 ahli persatuan itu berada di kawasan yang dikategorikan sebagai zon konflik di Asia Barat, melibatkan:
Arab Saudi (sembilan orang):
- Haizir Abu Hasan
- Mohd Subky Mohd Isa
- Kapten Suryaintheran Selvaraja
- Mohd Hasmurieman Hashim
- Azzahraul Nazrin Zainal Azri
- Muhammad Qutaibah Mustaffa Kamal
- Mohd Khairul Nizam Abd Razak
- Mohd Firdaus Mohd Ali
- Mohd Fahmi A Rahman
Qatar (empat orang):
- Mohamad Hafizzudin Mohamad Suraji
- Lau Han Seong
- Mohamad Sudaimi Abd Ghani
- Mohd Amirulhafiz Mohd Johar
Emiriah Arab Bersatu – sektor Dubai/Abu Dhabi (lima orang):
- Mu’ammar Asyraf Buzali
- Ahmad Sayuti Husin
- Nik Mohamad Shafik Nik Zulkifli
- Lokmanulhakim Badizoman
- Mohd Nazri Sharif
Ketegangan di Asia Barat terus meruncing sejak 28 Feb apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran, yang mencetuskan serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
