AS perkenal rang undang-undang tuntut keadilan untuk Hind Rajab

Senator Welch dalam kenyataannya menegaskan bahawa meskipun lebih dua tahun berlalu sejak tragedi tersebut, masih tiada pihak dipertanggungjawabkan atas kematian Hind Rajab, keluarganya dan paramedik yang cuba menyelamatnya. -Foto X
Sekumpulan penggubal undang-undang Demokrat di Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan rang undang-undang baharu bagi menuntut akauntabiliti dan siasatan menyeluruh berhubung kematian tragis kanak-kanak Palestin, Hind Rajab, keluarganya serta dua petugas paramedik di Gaza.
Rang undang-undang berkenaan, dinamakan Justice for Hind Rajab Act, diketuai oleh Senator Peter Welch dan disokong beberapa ahli Kongres termasuk Sara Jacobs, Pramila Jayapal dan Joaquin Castro.
Ia bertujuan memaksa kerajaan AS memberikan penjelasan komprehensif mengenai kejadian yang berlaku pada 29 Januari 2024, selain menilai corak kecederaan dan kematian awam yang lebih luas di Semenanjung Gaza.
Hind Rajab should be with us still today. But more than two years after her death, there has been zero accountability for her murder—which is documented in The Voice of Hind Rajab.She’s one of more than 20,000 kids who have been killed in Gaza—more than 100 since the… pic.twitter.com/Y56w3wQm8c— Senator Peter Welch (@SenPeterWelch) March 13, 2026
Langkah perundangan ini diperkenalkan susulan tayangan dokumentari The Voice of Hind Rajab, yang memaparkan rakaman komunikasi terakhir Hind dengan pasukan penyelamat sebelum dia ditemukan maut bersama keluarganya selepas kenderaan mereka ditembak ratusan das peluru.
Filem itu turut dicalonkan untuk Anugerah Akademi tahun ini.
Senator Welch dalam kenyataannya menegaskan bahawa meskipun lebih dua tahun berlalu sejak tragedi tersebut, masih tiada pihak dipertanggungjawabkan atas kematian Hind Rajab, keluarganya dan paramedik yang cuba menyelamatnya.
Beliau menyifatkan kejadian itu bukan situasi kekalutan peperangan, sebaliknya tindakan yang perlu disiasat dengan telus.
"Hind Rajab sepatutnya masih berada bersama kita hari ini. Namun, selepas lebih dua tahun kematiannya, masih tiada kebertanggungjawaban terhadap pembunuhannya — yang telah didokumentasikan dalam The Voice of Hind Rajab.
"Dia merupakan salah seorang daripada lebih 20,000 kanak-kanak yang telah terkorban di Gaza — lebih 100 daripadanya maut sejak 'gencatan senjata' bermula.
"Itulah sebabnya hari ini, saya memperkenalkan Akta Keadilan untuk Hind Rajab, yang menuntut kebertanggungjawaban atas pembunuhannya," kata Welch.
Data yang diperoleh melalui sumber antarabangsa menunjukkan lebih 50,000 kanak-kanak di Gaza terbunuh atau cedera sejak permulaan konflik, menjadikan insiden Hind Rajab sebagai simbol penderitaan lebih besar yang dialami kanak-kanak Palestin.
Pengenalan rang undang-undang ini menjadi tekanan diplomatik terbaharu bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti terhadap operasi ketenteraan yang memberi kesan besar kepada penduduk awam di Gaza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
