Adik cedera diserang abang menggunakan parang

Seorang lelaki cedera selepas diserang abangnya menggunakan parang dalam satu pergaduhan di sebuah rumah di Taman Air Mawang, Johol, Seremban, pada Khamis. - Gambar IPD Kuala Pilah
Seorang lelaki cedera selepas diserang abangnya menggunakan parang dalam satu pergaduhan di sebuah rumah di Taman Air Mawang, Johol, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 27 tahun itu, pada 3.49 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham dalam kalangan ahli keluarga berkaitan urusan peribadi, ketika mangsa pergi ke rumah keluarganya sebelum berlaku pertengkaran dan pergaduhan.
“Abang kepada mangsa turut datang ke rumah itu dengan membawa sebilah parang dan menyerang mangsa. Berlaku pergelutan sebelum kedua-duanya cedera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera pada bahagian pergelangan tangan kiri menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini, manakala abangnya mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Muhamad Mustafah berkata suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah menerusi nombor 06-4842999 atau Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Supiah Ishak, 019-9933978.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

